DUNIA > BERITA

Polis Indonesia Tumpaskan Sindiket Seludup Bayi Antarabangsa, Selamatkan Enam Bayi

16/07/2025 02:28 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 16 Julai (Bernama) -- Polis Indonesia menumpaskan sindiket pemerdagangan bayi antarabangsa yang dipercayai beroperasi sejak 2023, dengan menyelamatkan enam bayi dan menahan 12 suspek dalam satu operasi besar-besaran merentasi beberapa wilayah.

Menurut polis, lima bayi ditemukan di Pontianak, Kalimantan Barat di pulau Borneo dan dibawa ke ibu pejabat polis Jawa Barat, manakala seorang lagi bayi diselamatkan di kawasan Jakarta Raya.

Jurucakap polis Jawa Barat, Komisioner Hendra Rochmawan berkata para suspek memainkan pelbagai peranan dalam sindiket itu, termasuk merekrut bayi yang masih dalam kandungan, menjaga mereka serta memalsukan dokumen seperti sijil kelahiran dan pasport.

“Kumpulan ini turut mengatur penghantaran bayi berkenaan, yang dipercayai untuk tujuan pengambilan anak angkat secara haram di Singapura,” katanya dalam kenyataan.

Polis turut merampas dokumen pengenalan diri palsu, pasport dan surat pemilikan semasa penahanan dibuat.

Pengarah Siasatan Jenayah Am Jawa Barat, Komisioner Surawan berkata, seorang daripada suspek memaklumkan bahawa lima daripada bayi yang diselamatkan itu dijadual dihantar ke Singapura menggunakan dokumen palsu.

“Seorang lagi bayi diselamatkan di Tangerang, wilayah Banten, empat hari lalu,” katanya, sambil menambah bahawa ibu kandung bayi berkenaan dibayar antara IDR11 juta hingga IDR16 juta (kira-kira US$740 hingga US$1,070).

Siasatan yang bermula selepas seorang ibu membuat laporan berhubung kes penculikan bayi, telah membawa kepada penemuan rangkaian pemerdagangan lebih luas melibatkan bayi yang dipercayai berasal dari pelbagai kawasan di Jawa Barat.

Polis kini bekerjasama dengan Bahagian Perhubungan Antarabangsa Polis Indonesia bagi menyiasat kemungkinan kaitan rentas sempadan dalam kegiatan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan