AM

Masyarakat luar bandar perlu dapat kemudahan komunikasi sama seperti di bandar – Zahidi

27/06/2020 04:36 PM

PADANG BESAR, 27 Jun -- Masyarakat luar bandar perlu mendapat kemudahan komunikasi setaraf dengan orang bandar agar mereka tidak ketinggalan dari segi maklumat dan pengetahuan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kerajaan memberi dekoder MYTV secara percuma kepada masyarakat luar bandar khususnya keluarga B40 dan golongan kurang upaya (OKU) agar mereka mendapat informasi terkini.

“Pengetahuan adalah aset, tanpanya kita tidak boleh hidup atas dunia ini,” katanya ketika berucap pada program Sepakat@ Komuniti di Dewan Kemas, Alor Tampan, Santan di sini hari ini.

Zahidi sebelum itu menyampaikan dekoder MYTV kepada 25 penerima.

Katanya bermula pertengahan 2018, MYTV telah memperuntukkan sebanyak dua juta dekoder kepada golongan B40 dan sehingga Mei 2020 sejumlah 1.87 juta  unit dekoder telah diagihkan.

“Pada Mei tahun ini, kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memperuntukkan sebanyak 300,000 unit dekoder untuk diagihkan kepada golongan B40 dan OKU,” katanya.

Dalam pada itu, Zahidi yang ditemui pada sidang media kemudian berkata kerajaan sentiasa berusaha menambah baik  kemudahan jalur lebar di kawasan luar bandar secara berperingkat.

Katanya terdapat beberapa kawasan di luar bandar masih belum ada capaian jalur lebar dan kerajaan  sedang berbincang dengan syarikat telekomunikasi untuk memperluas jaringan capaian Internet di luar bandar agar rakyat mendapat maklumat yang sahih .

“Kita tidak mahu berita tidak sahih sampai kepada rakyat kerana ianya boleh mengudang kepada keresahan,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima dekoder MYTV, Zainol Jaya dari Kampung Padang Lati, Santan berkata dia  tidak mampu melanggan siaran televisyen berbayar kerana hanya bekerja sebagai pesawah.

“Sebelum ini pak cik hanya mampu melihat jiran memasang siaran televisyen berbayar dan MYTV di rumah mereka, namun kini  pak cik dan keluarga dapat rasai sendiri melihat siaran yang lebih jelas,” kata bapa kepada dua anak itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan