IPOH, 18 Jun -- Kerajaan negeri Perak mengucapkan takziah kepada keluarga Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid atau nama penanya Malim Ghozali PK atas pemergian sasterawan negara itu, hari ini.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pemergian Allahyarham yang mesra disapa sebagai Pak Malim merupakan kehilangan besar kepada bidang sastera negara selain diri sendiri kerana sasterawan negara itu dianggap sebagai ayah.
"Pastinya kita terus menyanjungi karya-karya ulung Allahyarham yang menjadi sebahagian daripada khazanah agung bidang sastera negara.
"Marilah kita sedekahkan pahala bacaan surah Al-fatihah buat Allahyarham Pak Malim. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau, dihimpunkan bersama-sama mereka yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Allahyarham Mohamed Ghazali menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 tahun selepas menjalani pembedahan membuang tumor di Hospital Serdang, 11.20 pagi tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara, selepas Asar, hari ini.
Malim Ghozali PK merupakan anak kelahiran Malim Nawar, Perak, pernah menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Award) pada 2013 dan dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada tahun 2014.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial