KUALA LUMPUR, 15 Mei -- Monsta YouTube Network menjangkakan kadar pertumbuhan langganannya akan berlipat ganda dalam tempoh 12 bulan akan datang, daripada kadar setengah juta langganan baharu setiap bulan ketika ini.
Dalam kenyataan hari ini, Monsta YouTube Network mengumumkan ia berjaya menjadi rangkaian YouTube keluarga dan kanak-kanak yang pertama di Malaysia yang mencecah sejumlah 10 juta langganan.
“Monsta YouTube Network kini merangkumi 12 saluran berbeza termasuk Monsta Channel, Mini Monsta, AnimaSEA, Monsta Keren, Monsta Dhamalastic, Papa Pipi dan banyak lagi. Setiap saluran menyajikan kandungan untuk segmen penonton yang berlainan, dengan langganan dari Asia Tenggara, Amerika Syarikat, India, dan Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS),” katanya.
Daripada siri popular tempatan, BoBoiBoy, yang disiarkan di 70 negara, sehingga francais paling popular di dunia, Pokemon, Monsta terus memperluas pilihan rancangan dengan pelbagai rancangan yang asli dan berlesen.
Menurutnya, hasil usaha gigih Monsta berunding dengan syarikat-syarikat penerbitan dari negara-negara serantau untuk menyiarkan rancangan mereka, telah membolehkan rancangan dari seluruh dunia disiarkan secara sah dan percuma di Monsta YouTube Network.
“Satu daripada matlamat Monsta adalah untuk memudahkan orang ramai menonton siri kegemaran mereka secara dalam talian, selain memerangi kegiatan cetak rompak ,” katanya.
Rancangan popular lain di Monsta YouTube Network termasuk siri animasi berorientasikan keluarga Pesanan Papa Pipi, siri pelancongan Fly With Yaya, siri animasi Beyblade Burst, Kamen Rider Zi-O, Zoids Wild, The Oddbods Show dan banyak lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial