AM

11,363 rakyat Malaysia sudah dibawa pulang

21/04/2020 07:07 PM

PUTRAJAYA, 21 April -- Seramai 11,363 rakyat Malaysia yang terkandas di 68 negara berjaya di bawa pulang sejak sebulan lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pada masa ini seramai 511 rakyat Malaysia masih terkandas di 22 negara. 

“Wisma Putra sedang usahakan supaya mereka dapat dibawa pulang,” katanya kepada pemberita pada sidang media mesyuarat kolaborasi tiga kementerian bagi mendapatkan vaksin COVID-19 melalui pendekatan diplomatik di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di sini hari ini. 

Tambah Hishammuddin, hampir kesemua rakyat Malaysia yang dibawa pulang tidak dibiayai oleh  kerajaan. 

Mereka pulang sama ada melalui penaja atau atas biaya sendiri, katanya lagi. 

Hishammuddin berkata tugas dan tanggungjawab Wisma Putra ialah untuk memudahkan hubungan antara kerajaan dengan kerajaan (G to G) supaya pesawat dari Malaysia dapat mendarat di sesebuah negara. 

“Ini kerana kita maklum negara yang terlibat pun melaksanakan ‘lockdown’. Hubungan baik dengan negara berkenaan membolehkan mereka memberi ruang untuk pesawat dari Malaysia mendarat (di negara tersebut),” katanya lagi. 

Katanya dua negara yang menjadi keutamaan Wisma Putra sebelum ini ialah Itali dan Iran di mana pesawat khas digunakan untuk membawa pulang rakyat Malaysia. 

“Ini kerana kedua-dua negara itu dilihat sebagai pusat bagi wabak COVID-19. Selain itu, kesemuanya adalah penerbangan yang ditaja,” kata Hishammuddin. 

Beliau berkata wang yang boleh digunakan untuk membendung COVID-19 di dalam negara jika  digunakan untuk  membawa pulang mereka yang mungkin masih selamat di negara lain berkemungkinan akan dipersoalkan. 

“Saya hendak jawab pada orang ramai susah,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan