AM

TIADA SOLAT JUMAAT ESOK, BANTU NEGARA PUTUSKAN RANTAIAN VIRUS COVID-19

19/03/2020 08:21 PM

PUTRAJAYA, 19 Mac -- Semua masjid di seluruh negara akan menghentikan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, bagi membantu negara untuk memutuskan rantaian virus COVID-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai semalam hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19, solat Jumaat tidak diadakan esok. 

“Patuhilah arahan yang dikeluarkan dan gantilah solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah masing-masing, bersama keluarga,” katanya dalam khidmat pesanan awam yang disiarkan di stesen-stesen televisyen hari ini.

Jelasnya arahan tersebut selari dengan langkah yang diambil di beberapa negara Islam lain, seperti Arab Saudi dan Kuwait.

“Hampir keseluruhan bersetuju dalam kes seperti ini dan semua pihak hendaklah mematuhi perintah yang ditetapkan pemerintah.

“Sekali lagi pesan saya, solatlah Zohor di rumah, InsyaAllah ada hikmahnya,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengisytiharkan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara, bagi mengekang penularan COVID-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Sebanyak 110 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 900 kes, dengan negara mencatatkan dua kematian pertama pada Selasa. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan