KUANTAN, 9 Mac -- Dua muka baharu dari Pahang dilantik sebagai timbalan menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pelantikan mereka sebagai amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I mengakui terkejut apabila mendengar namanya disebut semasa menonton pengumunan itu secara 'live streaming' memandangkan beliau dalam perjalanan pulang dari Putrajaya.
"Saya tidak menjangka akan memegang sebarang jawatan malah tidak pernah sesekali melobi apa-apa jawatan dalam kerajaan persekutuan. Bagaimanapun, ini adalah amanah dan kepercayaan yang diberikan sudah pasti akan dilaksanakan sebaik mungkin.
"Ini juga adalah satu peluang kepada saya untuk menyuarakan permasalahan dan isi hati masyarakat luar bandar kerana saya juga dibesarkan di kampung, jadi perkara ini bukan perkara baharu," katanya semasa dihubungi Bernama, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II melihat pelantikan itu sebagai pengiktirafan dan kepercayaan kepada anak muda untuk menganggotai satu kementerian penting.
Mohd Shahar juga berazam untuk membawa intipati dan suara anak muda bagi memastikan kebajikan mereka diambil kira dalam pengagihan kemakmuran dan ekonomi negara.
"Pelantikan ini memang mengejutkan kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak langsung memberi isyarat walaupun kami baru bertemu pada 3 petang tadi. Saya hanya tahu mengenainya melalui televisyen.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan ini dan sudah pasti ia juga adalah daripada kepercayaan yang diberikan UMNO yang membolehkan keberadaan saya di Parlimen Paya Besar," katanya.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menerusi kenyataan medianya, pula menyifatkan pengumuman Kabinet hari ini, memperlihatkan keanggotaan yang melampaui batasan kaum dan latar belakang kerjaya.
"... ini dilihat mampu melonjakkan kemajuan serta memelihara kemakmuran negara demi kesejahteraan rakyat. Pembentukan Kabinet diharapkan membolehkan negara dapat segera ditadbir dan digerakkan semula ke arah mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sepertimana yang dirangkakan," katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pelantikan enam ahli Parlimen dari Pahang bagi menganggotai Kabinet termasuk dua jawatan menteri iaitu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Selain Abdul Rahman dan Mohd Shahar, mereka dari Pahang yang dilantik ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.
Untuk rekod, Ismail Mohamed Said yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Krau merupakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi penggal ke-13 manakala Ismail Abdul Muttalib ialah Ahli Parlimen Maran dan pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan