Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kemampuan PDRM Tangani Ancaman Keganasan Diiktiraf Di Peringkat Antarabangsa - Saifuddin

20/06/2025 11:01 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani ancaman keganasan bukan sahaja diiktiraf di peringkat serantau, malah turut mendapat pengiktirafan daripada kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata ia dapat dilihat menerusi kepercayaan negara itu terhadap kepakaran PDRM dalam melaksanakan pemulihan kepada dua tahanan rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan di Teluk Guantanamo, Cuba.

“Ini menunjukkan dalam kes ini, Cawangan Khas PDRM mempunyai kepakaran dan kelebihan yang mampu meyakinkan kuasa besar seperti AS.

“Ini bermakna kita boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dalam perkara menangani ancaman keganasan supaya tidak lagi mendatangkan bahaya dalam negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa AS menyerahkan dua rakyat Malaysia untuk dibawa pulang pada Dis 2024 selepas ditahan di Kem Guantanamo, Cuba sejak 18 tahun lepas.

Kedua-dua mereka yang terlibat iaitu Mohammed Farik Amin, 49 dan Mohammed Nazir Lep, 48  dilaporkan sedang menjalani proses pemulihan komprehensif merangkumi perkhidmatan sokongan sosial, bantuan kebajikan serta saringan kesihatan sebelum kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Saifuddin berkata dalam situasi seperti itu, adalah penting untuk negara mempunyai KPN yang berwibawa seperti KPN ke-14 Tan Sri Razarudin Husain yang memainkan peranan penting dalam membawa dua individu itu kembali ke negara ini.

Beliau berkata kualiti yang ada pada Razarudin ialah ketenangannya dalam berhadapan dengan pelbagai pihak dari AS termasuk Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) ketika menyelesaikan isu berkenaan.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata pelantikan KPN bukanlah anugerah tetapi beban dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh individu yang memegang jawatan itu.

Beliau berkata sebagai ketua kepada pasukan itu, KPN perlu bertanggungjawab bukan sahaja kepada negara tetapi kepada seluruh pasukan polis.

Terdahulu pada majlis itu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai KPN ke-15 bagi menggantikan Razarudin berkuat kuasa hari ini.

Majlis Serah Terima Tugas itu disaksikan Saifuddin Nasution dan turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta pegawai kanan PDRM.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan