KUALA LUMPUR, 9 Mac -- Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan pelantikan beliau sebagai Menteri Pengangkutan sebagai satu penghargaan dan kepercayaan kepada MCA.
Presiden MCA itu turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan cadangan senarai nama Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Wee menerusi akaun Facebook rasminya turut berkata beliau berterima kasih kepada Muhyiddin kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri Pengangkutan yang serba mencabar.
"Amanah dan tanggungjawab ini saya akan galas sebaik mungkin demi kepentingan negara dan rakyat secara keseluruhannya.
"Ini juga merupakan satu penghargaan dan kepercayaan kepada parti MCA, barisan kepimpinan parti dan ahli-ahli MCA di seluruh negara. MCA sebagai sebuah parti berasaskan kaum Cina yang membela kepentingan semua rakyat Malaysia akan terus menyuntik nilai-nilai inklusif, kesederhanaan dan kepelbagaian," katanya.
Beliau turut berharap dengan pembentukan kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin, Malaysia akan kembali ke landasan yang betul dan tidak lagi terperangkap dengan konflik politik yang merugikan rakyat serta negara.
Berkebolehan bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik, Wee, 52, mula berkecimpung dalam arena politik sebagai ahli MCA pada 1992 dan pernah menjadi Timbalan Menteri Pendidikan 1 pada 2008 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2014.
Keperibadian Wee sebagai ahli politik turut menambat hati penduduk di kawasan Ayer Hitam, Johor apabila beliau mampu mempertahankan kerusi tersebut selama empat penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.
Sementara itu di MERSING, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad memberi jaminan akan memastikan fokus untuk membangunkan masyarakat luar bandar diteruskan melalui kementeriannya.
Dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, berliau berkata akan menggunakan pengalamannya sebagai anggota Kabinet sebelum ini dalam menerajui kementerian itu sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.
"Saya berasa bersyukur dan terharu atas kepercayaan yang diberikan oleh Muhyiddin dan berjanji akan menggalas tugas dan melaksanakan amanah baharu ini dengan sebaiknya," kata ahli Parlimen lima penggal itu kepada Bernama, ketika dihubungi di sini, malam ini.
Dr Abd Latiff, 62, merupakan antara tokoh yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam politik dari Johor dan pernah memegang beberapa jawatan di peringkat Persekutuan termasuk Timbalan Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Sumber Manusia dengan terakhir sebagai Timbalan Menteri Pertahanan selama tiga tahun antara 2010 hingga 2013.
Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari Universiti Malaya dan disahkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Februari tahun lepas setelah bersama dengan UMNO sejak 1990.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial