MELAKA, 31 Mei (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) mengesahkan akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Timbalan Presiden PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembahagian kerusi akan dimuktamadkan menerusi rundingan bersama parti komponen bagi memastikan strategi terbaik dapat dirangka untuk meraih kemenangan.
Beliau berkata PN kini berada dalam keadaan bersedia menghadapi pilihan raya dengan jentera di semua peringkat sedang diperkukuhkan, manakala ketua-ketua bahagian Bersatu telah diminta mengemukakan nama calon yang layak untuk dipertimbangkan.
Beliau berkata pemilihan calon akan dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk keperibadian dan integriti yang baik, rekod kerja cemerlang, pengalaman serta hubungan rapat dengan masyarakat setempat.
“Semua orang boleh menawarkan diri untuk bertanding, tetapi kita mahukan tokoh yang mempunyai keperibadian dan pekerja yang baik, mempunyai pengalaman serta dekat dengan penduduk,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Bersatu Melaka di Klebang malam tadi.
Beliau turut memaklumkan PN akan meneruskan rundingan dengan parti lain yang berminat bekerjasama menjelang PRN Melaka, dengan sebarang pembahagian kerusi diputuskan menerusi rundingan bersama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial