KUALA LUMPUR, 9 Mac -- Menjadi antara pemimpin bukan Melayu yang menyerlah, pelantikan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam barisan Kabinet sudah dijangka.
Pelantikan Presiden MCA itu sebagai Menteri Pengangkutan diumum Perdana Menteri hari ini, sekali gus merungkai persoalan tentang senarai anggota Kabinet baharu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berkebolehan bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik, Wee, 52, mula berkecimpung dalam arena politik sebagai ahli MCA pada 1992 sehingga diangkat ke jawatan tinggi dalam Kabinet sebagai Timbalan Menteri Pendidikan 1 pada 2008 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2014.
Keperibadian Wee sebagai ahli politik turut menambat hati penduduk di kawasan Ayer Hitam, Johor apabila beliau mampu mempertahankan kerusi tersebut selama empat penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.
Pada Pilihan Raya Umum 2018, Wee adalah antara pemimpin Barisan Nasional yang berjaya mengekalkan kedudukan kerusi di Parlimen yang akhirnya membolehkan isu-isu rakyat terus diangkat dan diberi perhatian.
Berikut adalah biografi Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
Nama : Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
Isteri : Datin Seri Jessica Lim Haiean
Tarikh Lahir : 20/10/1968 (52 tahun)
Tempat Lahir : Jasin, Melaka
Latar belakang pendidikan :
1. 1987-1992 : Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia
(UTM)
2. 1993-1995 : Ijazah Sarjana Kejuruteraan, Kejuruteraan Trafik, Nanyang Technological University (NTU), Singapura
3. 1996-2001 : Ijazah Doktor Falsafah Perancangan Pengangkutan, UTM
Kerjaya :
1992 - Ahli MCA
2004 - Dipilih sebagai Ahli Parlimen Ayer Hitam (BN-MCA) selepas memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.
2005 - Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA Kebangsaan bagi penggal 2005/2008
2008 - Ahli Parlimen Ayer Hitam (BN-MCA) bagi penggal kedua selepas memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.
2008 - 2011 - Ketua Pemuda MCA
2008 - 2009 - Dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan 1
2009 - 2013 - Dilantik Semula sebagai Timbalan Menteri Pelajaran 1 di bawah barisan Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak
2013 - Ahli Parlimen Ayer Hitam (BN-MCA) bagi penggal ketiga selepas memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013
2013 - Timbalan Presiden MCA bagi penggal 2013/2016
2014 - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
2018 - Ahli Parlimen Ayer Hitam (BN-MCA) bagi penggal keempat selepas memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan