AM

Aplikasi Penang Smart Parking kini cecah 250,000 muat turun

09/03/2020 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac -- Lebih 250,000 penduduk Pulau Pinang telah memuat turun Aplikasi Penang Smart Parking (PSP) iaitu sistem tempat letak kereta pintar sejak pelaksanaannya Ogos 2019.

Angka itu mewakili 12 peratus daripada jumlah penduduk Pulau Pinang dan ia dijangka meningkat kepada 400,000 muat turun menjelang Julai 2020. 

Selaku pembangun aplikasi itu, HeiTech Padu Berhad dalam kenyataan berkata, PSP dapat memudahkan warga Pulau Pinang serta pengunjungnya membuat pembayaran tempat letak kereta, pembelian pas bulanan parkir, dan pembayaran kompaun pada bila-bila masa.

Ia juga sebagai usaha kerajaan negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘Negeri Pintar Bertaraf Antarabangsa’ selain inisiatif strategik visi ‘Penang 2030’, iaitu mengintegrasikan perkhidmatan majlis bandaraya dan kerajaan tempatan dengan teknologi pintar.

“Aplikasi PSP ini menggunakan kombinasi teknologi sensor IoT (Internet of Things), sistem pandu arah, cloud dan bayaran secara dalam talian serta dilengkapi dengan fungsi e-wallet, selaras dengan aspirasi cashless society kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Cuma, bezanya aplikasi PSP dengan aplikasi tempat letak kereta yang lain adalah fungsi pandu arahnya di mana pengguna boleh mengenalpasti petak-petak tempat letak kereta kosong yang berdekatan dengan destinasi pengguna,” menurut kenyataan itu. 

Sehingga kini 1,000 unit sensor telah beroperasi dan menjelang Julai 2020, 35,000 unit lagi akan siap dipasang dan beroperasi di semua petak parkir Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). 

Bagi mereka yang tidak mempunyai telefon pintar, pembayaran tempat letak kereta boleh dibuat dengan membeli e-kupon tempat letak kereta yang boleh didapati daripada ejen e-kupon yang telah ditempatkan di kawasan tumpuan di sekitar negeri Pulau Pinang.  

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari portal rasmi ini di psp.penang.my. Selain itu, pengguna boleh mengikuti laman-laman sosial media rasmi Penang Smart Parking di Facebook di  https://www.facebook.com/penangsmartparking.official/ dan Instagram di @penangsmartparking.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan