BUTTERWORTH, 21 Jan -- Pulau Pinang berhasrat untuk mewujudkan 100 program pertanian bandar atau ‘urban farming’ menjelang tahun 2030, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri Dr Afif Bahardin.
Beliau berkata konsep pertanian bandar itu akan memberi fokus kepada tanaman berkonsepkan tanaman kontan seperti sayuran yang dilihat mampu memberi pulangan yang tinggi kepada petani.
"Konsep 'urban farming' ini perlu diketengahkan di Pulau Pinang kerana kurangnya tanah yang luas, dan konsep ini tidak memerlukan keluasan, yang perlu adalah teknologi… untuk menyesuaikan teknologi itu, kita perlukan ‘proof of concept’," katanya pada sidang media selepas melawat projek tanaman fertigasi halia, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LLP) Datuk Mazlan Aliman.
Dr Afif berkata kerajaan negeri menerusi jawatankuasanya telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pertanian untuk mengadakan laman proses rintis atau ‘proof of concept’ (POC) di beberapa lokasi di negeri ini yang dilihat mampu menjadi pemangkin untuk merancakkan lagi sektor pertanian bandar.
“Jika kita lihat kepada konsep 'vertical farming', akuaponik dan fertigasi, dari segi pengeluaran itu sangat produktif tetapi tidak memerlukan sumber tanah yang terlampau besar. Pada masa sama kita juga mahu membangunkan tanaman berasaskan organik kerana harganya tinggi dalam pasaran," katanya.
Jelasnya, dengan mewujudkan lebih banyak pertanian bandar, maka pengeluaran hasil organik turut akan meningkat seterusnya rakyat dapat menikmati makanan organik yang lebih sihat pada harga yang berpatutan.
“Sekarang ini makanan organik dilihat sebagai makanan mewah, maknanya hanya orang yang mempunyai kuasa beli yang besar boleh membeli makanan organik, walhal makanan yang sihat ini harus dapat dinikmati oleh semua rakyat.
“Jadi, kita kena lihat falsafah itu bahawa makanan organik ini patut diketengahkan lagi supaya harganya dalam pasaran menjadi lebih rendah seterusnya rakyat yang terdiri daripada pelbagai golongan juga mampu menikmati makanan organik,” katanya.
Beliau percaya dengan sokongan yang berterusan daripada kerajaan persekutuan, negeri dan agensi berkaitan sasaran untuk membangunkan 100 pertanian bandar menjelang 2030 dapat direalisasikan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial