ALOR SETAR, 2 Jan -- Kerajaan negeri bercadang membina lebih banyak menara telekomunikasi di negeri ini bagi meningkatkan kadar penembusan jalur lebar dan capaian rangkaian telekomunikasi terutama di kawasan luar bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan-bukan Kerajaan negeri Mohd Firdaus Ahmad berkata berdasarkan data daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) penembusan jalur lebar di negeri ini berada pada kadar 96.6 peratus pada tahun lepas (2019), sedikit meningkat berbanding 95.6 peratus tahun sebelumnya.
“Kerajaan negeri sememangnya berhasrat untuk membina lebih banyak menara telekomunikasi di kawasan pedalaman dan pinggir bandar namun perlu bergantung kepada kemampuan sumber kewangan yang ada serta kesesuaian lokasi pembinaan itu.
“Jumlah semua menara telekomunikasi di Kedah ada ratusan dan terdapat 40 menara telekomunikasi tambahan di seluruh Kedah yang kebanyakannya di kawasan luar bandar,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan menjalankan operasi pemutihan menara-menara telekomunikasi di negeri ini memandang ada antaranya yang beroperasi secara haram.
Ketika ini kerajaan negeri sedang membangunkan sebuah sistem iaitu ‘Communications Infrastructure Permit Management’ (CIPM) bagi menangani masalah itu.
“Setakat ini, kita belum dapat mengetahui jumlah sebenar menara telekomunikasi yang beroperasi secara haram dan kini masih dalam proses mengenal pasti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial