FOKUS BERNAMA

Buli Siber Masalah Psikologi, Perlu Undang-Undang Khas

25/11/2019 04:18 PM

Oleh Erda Khursyiah Basir

Ini adalah artikel terakhir rencana dua bahagian mengenai gejala buli siber di Malaysia.

Buli siber tergolong dalam kategori masalah gangguan psikologi dan boleh menyebabkan kes bunuh diri  Undang-undang khusus perlu dipertimbangkan bagi menangani jenayah itu.

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Boleh membawa kepada kes bunuh diri! Ini adalah kesan paling buruk buli siber akibat tekanan jiwa melampau yang ditanggung oleh mangsa.

Contoh terbaharu, kes kematian bintang popular (K-Pop) Korea Selatan, Choi Sulli atau Sulli. Kematian pelakon dan penyanyi berusia 25 tahun itu yang nama sebenarnya, Choi Jin-ri, didakwa berpunca daripada kemurungan ekoran kecaman netizen negara itu, yang membawa kepada beliau dilaporkan menggantung diri.

Bukan sahaja di luar negara malah di Malaysia sendiri terdapat beberapa kes bunuh diri melibatkan pelajar sekolah dan universiti yang juga didakwa berpunca daripada buli siber. 

Kejadian seorang remaja di Padawan, Sarawak yang dilaporkan membunuh diri selepas hasil undian dalam talian yang dilakukannya lebih banyak menyuruhnya berbuat demikian, turut menarik perhatian penaung Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA) Tan Sri Lee Lam Thye.  

Beliau mengumpamakan kes itu seperti kerumunan orang ramai yang berteriak dan menyuruh "lompat" apabila ternampak seseorang yang berniat hendak membunuh diri berdiri di hujung atap atau balkoni bangunan tinggi.

Lee berkata, jika dalam dunia siber, tindakan kerumunan itu boleh dianggap sebagai perbuatan buli siber memandangkan ramai yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu menggalakkan remaja berkenaan untuk membunuh diri.

 

KURANG EMPATI

Profesor Datin Dr Mariani Md Nor, Pakar Psikologi Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya berkata, buli termasuk buli siber tergolong dalam kategori masalah gangguan psikologi.

"Ia menunjukkan ketidakstabilan dan kecelaruan individu dalam meluahkan pendapat melalui penulisan terutama melalui platform laman sosial, tanpa mempunyai empati yang sewajarnya."

"Kurangnya empati dan kecerdasan emosional (EQ) serta kecerdasan spiritual (SQ) boleh memberi impak negatif sebagai contoh membawa kepada gejala kemurungan dan bunuh diri yang boleh berlaku baik kepada mangsa atau pemangsa sendiri." katanya kepada Bernama. 

Dr Mariani berkata, kebanyakan insiden buli siber bertujuan melepaskan rasa tidak puas hati serta amarah dan dendam kepada individu tertentu.

Namun begitu, tindakan berkenaan berisiko menjadi pencetus kepada permasalahan lain yang lebih serius sehingga boleh memberi kesan dari sudut emosi, psikologi serta sosial.

"Perbuatan yang disertai dengan kata-kata yang menyakitkan hati akan membuatkan perasaan marah bertukar menjadi dendam lebih-lebih lagi apabila wujud perbalahan. Di alam siber, amarah dan dendam dizahirkan melalui kata-kata yang kesat terutama dalam media sosial."

"Dengan kecanggihan teknologi hari ini, buli siber menjadi semakin membimbangkan kerana rasa amarah dan dendam sukar dikawal sebaliknya mudah dilempiaskan melalui kata-kata negatif sekaligus memberi kesan buruk kepada mereka yang menjadi sasaran." katanya. 

 

PENGALAMAN, TREND TULAR

Mengulas lanjut Dr Mariani berkata, buli siber boleh berlaku secara suka-suka dan akhirnya membawa kepada ketagihan untuk 'menyakiti' individu lain.

Selain itu, sama seperti buli fizikal, latar belakang dan pengalaman hidup pembuli antara perkara yang boleh membawa kepada buli siber.

"Apa yang mereka lalui pada masa lampau berkemungkinan menjadi pencetus dan membawa kepada tindakan untuk menyakiti individu lain meskipun secara dalam talian." 

"Trend menularkan sesuatu isu di media sosial yang amat sukar dikawal turut menjadi penyumbang. Media, tidak kira media cetak atau elektronik turut mempunyai kolum atau segmen khas 'viral' untuk mengetengahkan perkara-perkara semasa yang berlaku."

"Ini secara langsung membuka peluang besar kepada golongan yang 'sangat komited' dalam memberi pandangan terhadap perkara-perkara yang tular. Mereka boleh meluahkan apa sahaja pendapat walaupun menyakitkan hati dan memberi kesan kepada individu lain. Adakalanya mangsa juga akan bertindak 'menjawab' komen mereka maka berlakulah perbalahan yang membawa kepada isu yang lebih besar." katanya.

 

PERANAN SEMUA PIHAK

Kesan buli siber mungkin tidak dapat dilihat secara fizikal tetapi dalam jangka masa panjang, ia boleh menjejaskan emosi, sosial dan kesihatan mental individu.

Menurut Dr Mariani, individu yang stabil emosinya boleh berubah menjadi pasif atau agresif serta menjadi seorang yang tidak tenang dalam pergaulan sosial. 

“Di sinilah pentingnya peranan individu terdekat atau keluarga untuk membawa mangsa mendapatkan rawatan yang sesuai. Ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat memainkan peranan besar dalam mengekang gejala buli siber terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja."

“Ibu bapa sebagai contoh perlu mengawal penggunaan media sosial anak-anak dengan mengehadkan penggunaan gajet atau memberikannya hanya pada waktu tertentu."

“Bagi golongan remaja, mereka bukan mudah untuk dikawal kerana di peringkat usia beginilah golongan itu mencari identiti diri. Justeru hubungan rapat antara ibu bapa dan remaja, kasih sayang yang dipupuk sejak kecil menjadi senjata paling penting untuk mengawal perlakuan mereka,” katanya sambil mengakui sukar untuk mengawal ‘chatting’ di laman media sosial dalam era komunikasi siber."

 

KURANG PENGETAHUAN

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata segelintir masyarakat tidak sedar bahawa mereka adalah pembuli siber kerana kurangnya pengetahuan berkaitan akta tertentu khususnya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ada beza antara kecaman dan membuli (siber). Ini yang gagal difahami oleh kebanyakan pengguna siber disamping merasakan tindakan menularkan individu lain bukan kategori membuli.” katanya. 

Beliau berkata antara langkah yang wajar diambil oleh pengguna apabila berdepan situasi buli siber ialah membuat laporan kepada pengendali media sosial (Facebook, Instagram dan sebagainya) dan pihak polis agar pelaku boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). 

“Antara peranaan utama MCCA ialah membela mangsa jenayah siber. Buli siber merupakan satu aktiviti jenayah. Pengguna siber mungkin sedar atau tidak sedar akan perkara ini."

“MCCA turut menggalakkan mangsa melaporkan masalah mereka dengan melayari www.cyberconsumer.my/aduan sekiranya terlibat dengan isu ini. MCCA turut mempunyai pelan galakan ‘budaya berkongsi posting positif’ dalam media sosial agar ia dapat dijadikan amalan dalam kalangan pengguna siber.” katanya.

Siraj turut berkongsi antara kes yang berjaya diselesaikan MCCA  baru-baru ini ialah melibatkan ejen hartanah yang dicanang sebagai penipu di laman sosial apabila urusan jual beli rumah ‘pemangsa’ tidak berjaya.  

“Kes ini dilaporkan kepada MCCA dan kami menghubungi pihak yang menyebarkan maklumat salah berkenaan. Hasil penerangan berhubung tindakan undang-undang yang boleh diambil, pembuli bertindak memadam hantaran di laman sosial di samping turut memohon maaf kepada ejen hartanah itu.” katanya.

 

SELAMATKAN ANAK-ANAK

Peguambela dan peguamcara Muhammad Hafiz Hood berkata kerajaan mahupun badan legislatif masih belum mempunyai mekanisme undang-undang khusus untuk mengekang gejala buli siber.

Beliau berkata, ketika ini kebergantungan tertumpu kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman kepada mana-mana individu yang menggunakan kemudahan Internet secara tidak wajar dan mendatangkan kemudaratan kepada individu lain.

Selain itu katanya, kerajaan masih meneruskan penguatkuasaan undang-undang sedia ada iaitu Kanun Keseksaan.

“Soalnya adakah hukuman undang-undang sedia ada ini setimpal dan berkesan? Pada pendapat saya tidak, kerana gejala buli siber memberi kesan besar kepada masyarakat hingga menjadi punca kematian seperti yang berlaku kepada seorang remaja di Sarawak pada Mei lepas, yang bertindak membunuh diri selepas mendapat undian di aplikasi Instagram."

“Ini secara langsung membawa maksud buli siber tiada bezanya dengan buli fizikal yang tertakluk di bawah kelakuan jenayah. Buli siber boleh bertukar menjadi jenayah berat atau rampage. Justeru, satu akta khas wajar digubal untuk menangani perkara ini.” katanya. 

Berpendapat Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia perlu berdiri sendiri atau dijadikan asas bagi penggubalan akta khusus dalam menangani buli siber, Muhammad Hafiz berkata akta baharu itu nanti diharap turut berupaya menyediakan peraturan penggunaan Internet bagi kanak-kanak bawah umur dan golongan remaja.

“Inisiatif  ini bagi mengekang berlakunya buli siber secara berleluasa dalam kalangan remaja. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta CyberSecurity Malaysia perlu mempertingkatkan pemantauan ke atas penggunaan media sosial dalam kalangan remaja termasuk mempertimbang untuk mewajibkan pendaftaran akaun media sosial dengan identiti asal."

“Lambakan akaun palsu mendorong kepada kejadian buli siber yang berleluasa. Filipina sebagai contoh telah memperkenalkan The Anti Bullying Act 2013 bagi mengekang gejala buli termasuk buli siber. Perincian perlu dilakukan untuk menyelamatkan masa depan anak-anak muda daripada terus menjadi mangsa mahupun pemangsa buli siber.” katanya. 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff
BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan