KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Sebanyak 555 prospek di penjara seluruh negara dibebaskan hari ini di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Hari Raya Aidiladha.
Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan memaklumkan Johor menjadi negeri paling ramai prospek dibebaskan iaitu 83 individu, diikuti Sabah (82), Sarawak (68), Terengganu (67), Pahang (54), Selangor (51) Pulau Pinang (45), Kedah (28), Perak (25), Negeri Sembilan (25), Perlis (15) serta Kelantan, 12.
“Program ini dilaksanakan sempena sambutan perayaan bagi memberi peluang kepada banduan yang layak untuk kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat dalam usaha menyokong pemulihan serta integrasi sosial prospek.
“Bagi sambutan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini, sebanyak 1,934 prospek telah diberikan PBSL,” menurut kenyataan itu hari ini.
Jabatan Penjara memaklumkan sejak 1 Jan 2020 hingga 31 Dis 2024, sebanyak 57,779 Orang Bebas Berlesen (OBB) telah diberikan PBSL di institusi penjara di seluruh negara dengan 2024 mencatatkan rekod paling tinggi dalam tempoh lima tahun iaitu sebanyak 20,578 prospek.
Pada 2023 pula, sebanyak 15,180 prospek dibebaskan diikuti pada 2022 (8,412), 2021 (3,517) dan 2020 (1,938).
Menurut kenyataan itu PBSL diberikan kepada prospek yang menjalani hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, golongan rentan dan wanita mengandung dengan hukuman penjara kurang daripada empat tahun, telah melalui program pemulihan di penjara serta berkelakuan baik dan mempunyai penjamin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial