KUALA TERENGGANU, 21 Nov -- Walaupun keputusannya tidak secemerlang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang lain, namun semangat dan kecekalan, Nur Damia Irsalina Daeng Malis yang dilahirkan kudung kaki dan tangan, dalam menuntut ilmu patut dicontohi masyarakat.
Ibunya, Rosnaini Mohamad, 41, berkata mereka sekeluarga bersyukur dengan keputusan UPSR walaupun tanpa sebarang ‘A’ yang diperolehi Nur Damia Irsalina dan berharap ia akan mendorongnya untuk terus memburu impian menjadi pakar motivasi terkenal satu hari nanti.
"Sepanjang tahun ini, Kak Nik (nama timangan Nur Damia Irsalina) kebanyakan hari memang tidak hadir ke sekolah dan tidak dapat fokus kepada pembelajaran kerana terpaksa berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani rawatan dan pembedahan
"Namun, dalam payah menahan kesakitan, Kak Nik tetap mahu mengulang kaji pelajaran walaupun kami sekeluarga tidak kisah pun kerana UPSR bukanlah penentu masa depan, apa yang penting bagi kami Kak Nik sentiasa sihat dan ceria," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau menambah Nur Damia Irsalina perlu menjalani pembedahan setiap enam bulan sekali kerana menderita masalah tulang belakang membengkok.
Kisah Nur Damia Irsalina pernah tular enam tahun lalu dan menjadi inspirasi rakyat Malaysia apabila dia mendaftar masuk ke Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Kuala Telemong dekat Hulu Terengganu dan bukannya sekolah khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU).
Kegigihan Nur Damia Irsalina menjalani rutin harian di sekolah turut dikagumi ramai apabila dia lebih selesa berdikari dan sejak itu, banyak pihak tampil membantu terutama dalam menghasilkan kerusi roda yang sesuai dengan keupayaan fizikalnya.
Rosnaini berkata anaknya itu sentiasa positif dalam menjalani kehidupan dengan menjadikan pakar motivasi terkenal dari Australia, Nick Vujicic sebagai idolanya.
Anak ketiga daripada empat beradik itu pernah bertemu dengan Nick Vujicic beberapa kali sejak tahun 2013 dan pertemuan bersama pakar motivasi itu berjaya menjadikan Nur Damia Irsalina lebih ceria dan sentiasa tenang dalam menghadapi apa jua cabaran.
"Kak Nik akan mendaftar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Telemong tahun depan, doakan cita-citanya menjadi pakar motivasi tercapai," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial