YALA, 14 Nov -- Polis Thailand hari ini menahan lima lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam serangan di pos kawalan keselamatan di Yala, Selatan Thailand pada 5 Nov.
Timbalan Ketua Polis Bahagian Ke-9, Pol Mej Jen Piyawat Chalermsri berkata dalam serbuan di sembilan kampung di Daerah Krong Pinang, Mueang Yala, dan Bannang Sata, polis menahan lima individu yang disyaki terlibat dalam serangan di Pos Kawalan Keselamatan di Kampung Lam Phaya.
“Setakat ini, polis telah menahan 17 suspek untuk membantu siasatan serangan pada 5 Nov lepas. Seorang daripada mereka mengakui terlibat dalam serangan yang membunuh 15 orang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Piyawat berkata polis akan memohon waran tangkap untuk menahan seorang lelaki dari Kampung Kabang Yala yang dipercayai terlibat dalam serangan itu.
“Suspek dikenal pasti terlibat dalam serangan itu berdasarkan profil DNA yang sepadan dengan kesan darah di tempat kejadian,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Yala mengeluarkan dua waran tangkap untuk menahan dua lelaki yang berusia 42 dan 31 tahun, dipercayai terlibat dalam serangan itu.
Pada malam 5 Nov lepas, sekumpulan individu bersenjata merempuh tempat pemeriksaan keselamatan di wilayah Yala, membunuh 15 orang, termasuk sukarelawan pertahanan kampung dan anggota polis serta mencederakan lima yang lain.
Penyerang menggunakan bahan letupan dan menabur paku di atas jalan dalam usaha memperlahankan pergerakan orang ramai ketika mengejar mereka.
Serangan itu merupakan yang paling buruk di selatan Thailand dalam beberapa tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial