SHAH ALAM, 5 Mei (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) merekodkan agihan zakat sebanyak RM1.33 bilion tahun lepas dengan lebih 60 peratus disalurkan kepada golongan fakir dan miskin melibatkan lebih 75,000 keluarga di seluruh negeri.
Dalam kenyataan hari ini, Zakat Selangor memaklumkan prestasi itu disokong kutipan zakat berjumlah RM1.31 bilion, sekali gus membolehkan bantuan disalurkan secara berterusan melalui pelbagai bentuk intervensi berstruktur.
Selain itu, institusi berkenaan mengenal pasti lebih 14,000 keluarga fakir dan miskin sebagai asnaf baharu hasil pemerkasaan proses penilaian serta peluasan capaian kepada golongan yang sebelum ini belum dikenal pasti.
Menurut kenyataan itu, penentuan status asnaf ini dibuat berdasarkan pengiraan had kifayah, iaitu garis kecukupan minimum yang mengambil kira keperluan asas isi rumah seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan serta kos sara hidup semasa.
Dalam perkembangan sama, lebih 2,800 keluarga berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan melalui program intervensi berterusan, sekali gus mencerminkan keberkesanan pendekatan agihan yang bukan sahaja bersifat kebajikan, malah menekankan pemerkasaan jangka panjang.
“Daerah Petaling merekodkan bilangan tertinggi keluarga fakir dan miskin dengan hampir 13,600 keluarga, diikuti Klang dengan lebih 12,600 keluarga serta Hulu Langat sekitar 11,700 keluarga, mencerminkan tumpuan cabaran kemiskinan di kawasan berpenduduk padat.
“Situasi ini menggambarkan cabaran sosioekonomi bandar yang memerlukan pendekatan intervensi lebih menyeluruh dan tertumpu, sejajar dengan usaha berterusan Zakat Selangor dalam memperkukuh sokongan kepada golongan memerlukan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Zakat Selangor akan terus memperkukuh agihan bantuan asas di samping memperluas inisiatif pembangunan seperti latihan kemahiran dan program peningkatan pendapatan bagi membantu golongan asnaf keluar daripada kemiskinan secara mampan.
Institusi itu turut menegaskan komitmen untuk melaksanakan amanah kutipan dan agihan zakat secara telus dan berintegriti, selaras dengan tuntutan syariat Islam, di samping menyokong usaha kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan asnaf.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial