CHUKAI, 16 Okt – Hasrat pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team’s (TSG), Mohd Harrif Salleh untuk meraih kemenangan peringkat di negeri kelahirannya, tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati dengan tempat ketiga di peringkat kedua edisi sulung saingan Tour of Peninsular (ToP) 2019.
Pakar pecut berusia 31 tahun itu menamatkan perlumbaan sejauh 157.4 kilometer dari Pasarnita Tanjung, Kuala Terengganu ke Padang Astaka, Chukai di belakang pelumba Afrika Selatan, Rohan du Plooy dan pelumba Iran, Amirhossein Jamshidian Ghlehsefidi dengan catatan masa tiga jam dan 30.43 saat.
Pada perlumbaan hari ini, para pelumba menghadapi cabaran angin lintang Laut China Selatan di laluan tepi pantai timur negara, menyaksikan tiga zon pecutan di Marang, Kuala Dungun dan Paka, sebelum zon pendakian di Kijal, iaitu hanya 15km sebelum penamat.
Selepas beberapa pecahan pada perlumbaan hari ini berjaya dikejar, serangan mengejut oleh sebuah kumpulan kecil, termasuk Rohan pada zon pendakian itu menyebabkan Harrif dan pelumba dalam peloton utama tidak mampu mengejar pelumba Afrika Selatan itu, walaupun telah dibantu oleh rakan sepasukannya.
“Perlumbaan hari ini menang mencabar kerana angin kuat dan banyak cubaan untuk pecahan. Saya memang nak pecut pada akhir perlumbaan untuk menang peringkat hari ini, tetapi tak dapat nak kejar.
“Saingan ToP ini menjadi terbuka dan mana-mana pasukan mampu membuat serangan dan menang kerana ketiadaan pasukan Pro Tour atau pasukan lain yang kuat untuk mengawal perlumbaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah.
Sebagai rekod, pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019, April lalu, Harrif, yang juga dikenali sebagai Mamat, berjaya mengungguli peringkat kedua dari Senawang ke Melaka, menamatkan penantian sembilan tahun selepas pencapaian bekas rakan sepasukannya, Anuar Manan yang muncul pelumba Malaysia memenangi peringkat di LTdL dengan kemenangan di peringkat keempat dari Muar ke Port Dickson.
Sementara itu, jurulatih TSG, Jeremy Hunt jelas tidak begitu gembira pencapaian pasukan itu, selepas menjangka penamatan dengan pecutan berkelompokri ini, tetapi berlaku sebaliknya.
Beliau masih yakin bahawa pelumba pilihan pasukan itu, Artem Ovechkin dari Rusia, yang merupakan juara keseluruhan LTdL 2018, mampu mengatasi cabaran dari pasukan lain apabila sering menjadi perhatian dalam peloton, untuk mencapai kemenangan di peringkat seterusnya.
Artem yang menamatkan saingan di tempat ke-52 dalam kelompok, berada di kedudukan ke-31 dengan catatan masa 7:28.31s, iaitu ketinggalan 0.32 saat di belakang pendahulu, Elchin Asadov dari pasukan kebangsaan Azerbaijan dalam perebutan jersi kuning (pendahulu keseluruhan).
Peringkat ketiga dari Padang MPK 2, Kuantan ke Jalan Besar Karak (172.7km) esok bakal menyaksikan satu lagi perlumbaan menarik dengan tiga zon pecutan di Temerloh, Chenor and Gambang, selain pendakian Kategori 4 di Sri Jaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial