EKONOMI

MIGHT, PNSB Meterai MoC Pacu Industri Berteknologi Tinggi Di Selangor

06/04/2026 10:47 PM

SHAH ALAM, 6 April (Bernama) -- Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) hari ini memeterai memorandum kolaborasi (MoC) bagi merancakkan pembangunan industri berteknologi tinggi serta menarik pelaburan strategik di Selangor.

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr K Nagulendran berkata inisiatif itu dijangka mengukuhkan ekosistem perindustrian negeri melalui pemerkasaan rantaian nilai tempatan, pembangunan bakat berkemahiran tinggi serta penyelarasan lebih berkesan antara dasar dan pelaksanaan.

“Kolaborasi seperti ini penting bagi memastikan agenda sains, teknologi dan inovasi negara diterjemahkan kepada impak ekonomi yang nyata.

“Pendekatan ini menghubungkan perancangan strategik dengan pelaksanaan di lapangan serta keperluan industri, sekali gus mempercepat pemindahan teknologi dan meningkatkan kadar pengkomersialan inovasi,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama itu juga memberi penekanan kepada pembangunan ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) yang berimpak tinggi serta berorientasikan hasil selaras dengan keperluan industri semasa.

Dalam masa sama,  Nagulendran berkata MIGHT akan memacu tiga kluster utama iaitu aeroangkasa, pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR) serta sains hayat, termasuk pembangunan hab berkaitan di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT Rushdi Abdul Rahim berkata kolaborasi itu mencerminkan peralihan peranan MIGHT daripada penasihat kepada rakan pelaksana strategik dalam memacu pembangunan industri negara.

“Pendekatan lebih proaktif ini memberi fokus kepada penterjemahan pelan strategik kepada pelaburan serta inovasi berimpak tinggi,” katanya.

Prestasi sektor aeroangkasa negara menunjukkan pemulihan ketara dengan peningkatan hasil daripada RM11.6 bilion pada 2020 kepada RM25.1 bilion pada 2024, manakala industri SBSR kini berada di kedudukan ke-16 dunia dan sedang beralih ke arah teknologi hijau serta digital.

Terdahulu, Nagulendran bersama Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han menyaksikan upacara menandatangani MoC antara MIGHT dan PNSB dalam satu majlis yang diadakan di Bangunan MIGHT Hub Partnership di Cyberjaya.

Majlis itu turut menyaksikan peluncuran laporan Malaysia Smart City Outlook 2026-2030 yang menggariskan keutamaan pembangunan bandar pintar secara inklusif, mampan dan berdaya tahan.

Sementara itu, Ng berkata kerajaan Selangor menyambut baik kolaborasi berkenaan yang sejajar dengan aspirasi memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab industri berteknologi tinggi dan pusat pelaburan berimpak tinggi.

“Inisiatif ini dijangka menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh pembangunan bakat dan rantaian bekalan tempatan selaras dengan agenda pertumbuhan ekonomi mampan negeri.

“Kolaborasi ini dijangka memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab industri strategik serta menyumbang kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat inovasi berteknologi tinggi yang kompetitif di peringkat global,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan