EKONOMI

Loji Janakuasa Tenaga Solar Merchang bekalkan elektrik kepada 30,000 isi rumah

10/10/2019 06:36 PM

MARANG, 10 Okt  -- Loji Janakuasa Tenaga Solar Merchang di sini yang berkapasiti 50 Megawatt mampu membekalkan tenaga elektrik kepada kira-kira 30,000 isi rumah.

Naib Presiden Quantum Solar Park, syarikat yang membangunkan projek itu Mohd Tawfieq Roseli berkata projek penjanaan tenaga solar yang bernilai RM400 juta itu telah beroperasi sepenuhnya sejak Mei lepas.

“Ia mula dibangunkan pada Oktober 2017 dan pada hujung Mei tahun ini kita sudah mula menjualkan tenaga (solar) yang dijana kepada TNB (Tenaga Nasional Berhad),” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Loji Janakuasa Tenaga Solar Merchang, di sini hari ini.

Katanya melalui projek berskala besar, 190,000 keping panel solar telah dipasang bagi menjana tenaga solar di kawasan seluas 81 hektar di sebuah kampung di sini.

Terdahulu Ahmad Samsuri berkata lawatan kerjanya pada hari ini adalah untuk melihat dengan lebih dekat perkembangan projek dan bagi membantu kerajaan negeri mempertimbangkan projek-projek penjanaan tenaga solar yang lain selepas ini.

“Memang setiap projek-projek tenaga solar harus melalui proses tender dengan Suruhanjaya Tenaga yang merupakan di bawah Kerajaan Pusat tetapi ia masih lagi ada urusan Kerajaan Negeri iaitu tanah, fasiliti, peluang pekerjaan dan sebagainya,” katanya sambil memberitahu sebanyak tiga lagi projek penjanaan tenaga solar telah dibangunkan di Terengganu iaitu di Setiu, Kemaman dan Dungun.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan