ALOR SETAR, 3 Okt -- Sebanyak 1,031 acara sukan berlangsung di negeri ini sempena Bulan Sukan Negara (BSN) sepanjang Oktober ini yang dijangka akan disertai lebih 324,000 orang.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah Mohd Salleh Ramli berkata, jumlah acara itu adalah yang paling tinggi setakat ini berbanding di negeri-negeri lain dan ia dijangka akan meningkat kerana terdapat banyak lagi penganjuran yang masih di peringkat perancangan.
“Penganjuran acara ini meliputi acara yang dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak swasta, sekolah, badan-badan bukan kerajaan, persatuan sukan dan persatuan penduduk sepanjang bulan ini dan ada yang telah bermula Selasa lalu.
Kita memang menggalakkan semua pihak menganjurkan acara sukan bagi memeriahkan sambutan BSN dan menyeru orang ramai terlibat dalam acara yang dianjurkan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya, semua acara itu yang merangkumi pelbagai jenis sukan menyasarkan penyertaan semua peringkat masyarakat dan diharapkan dapat memupuk semangat kesukanan dan budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Selain acara sukan, Mohd Salleh berkata pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan negeri yang menganjurkan program pendidikan dan pameran kesihatan serta pemakanan sihat yang diadakan di semua daerah di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau berharap semua acara sukan yang dianjurkan akan disertai oleh pelbagai kaum bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Sukan adalah untuk semua, banyak acara yang dianjurkan ini boleh jadi platform meningkatkan hubungan antara kaum dan kita harap bukan sahaja pada bulan Oktober ini tetapi pada bulan lain juga masyarakat pelbagai kaum boleh terlibat bersama-sama dalam acara sukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata majlis pelancaran BSN peringkat negeri akan diadakan pada 12 Okt ini di Stadium Mini Pendang, Pendang dan akan disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial