AM

Impian Ahmad Wazif kendali tren jadi kenyataan

16/09/2019 04:14 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 16 Sept -- Kegembiraan jelas terpancar di wajah seorang kanak-kanak penghidap leukemia, Ahmad Wazif Mohd Amir, 7, apabila impiannya mengendalikan tren tercapai. 

Anak kecil yang pemalu itu tiba-tiba berubah menjadi riang dan teruja sebaik sahaja menjejakkan kaki ke 'kokpit' tren Monorel dan Transit Aliran Ringan (LRT) jajaran Ampang milik Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Ibunya, Sazrina Ramli, 39, berkata  Ahmad Wazif yang didignosis dengan leukemia sejak Nov 2017 memang sangat meminati tren malah bercita-cita untuk menjadi jurutera kereta api (train engineer) suatu hari nanti.

"Dia tunjukkan minat kepada tren sejak berusia tiga tahun. Apa yang dia tengok, dia akan lukis dan tunjuk kepada kami. Bila dapat peluang sebegini, dia memang gembira.

"Biasanya dia tengok sendiri video dalam YouTube dan ceritakan kepada kami apa yang dia tengok. Macam-macam perkara dia tahu termasuklah langkah-langkah korek terowong untuk projek Transit Aliran Massa (MRT).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai program Wazif's Wish Day anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Make-A-Wish (Malaysia) dengan kerjasama Prasarana, di sini, hari ini. 

Turut menyertai program itu ialah bapanya, Mohd Amir Mohd Azir, 37 dan adik-beradiknya Ahmad Wafiq, 9, dan Ahmad Waseem Kaisy, 4 serta sukarelawan terlibat. 

Menurut Sazrina, kerana keterujaan kepada tren, Ahmad Wazif turut menggunakan MRT sebagai pengangkutan utama ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. 

"Setiap kali menjalani rawatan susulan di hospital, Ahmad Wazif akan menaiki MRT. Keadaan itu membuatkannya rasa teruja dan gembira bahkan tidak sekalipun dia akan menangis walaupun dicucuk jarum," katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish (Malaysia), Irene Tan berkata pihaknya merencana pelbagai program berkaitan tren buat Ahmad Wazif termasuk akan melawat depoh tren, esok. 

"Hari ini, dia menaiki semua tren - MRT, LRT dan monorel. Esok, kami akan membawanya melawat ke depoh utama tren. Dia nampak sangat gembira. Kami bertemu pada Mei lalu selepas diperkenalkan oleh seorang doktor. Sebagaimana adik Wazif gembira, kami juga gembira kerana dapat menunaikan impiannya,” kata beliau.

Sehingga hari ini, Make A Wish (Malaysia) telah menunaikan 557 impian sejak mula aktif di negara 10 tahun lepas dan mengharapkan lebih banyak kesedaran dan sokongan dapat dipupuk selepas ini.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail Sdn Bhd, Mohd Ariffin Idris berkata ini merupakan kerjasama pertama antara Prasarana dan Make-A-Wish (Malaysia). 

"Kami berbangga dapat merealisasikan impian adik Ahmad Wazif. Kami berharap agar keluarga ini terus tabah dalam mengharungi dugaan," katanya 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan