AM

Krisis Asia Barat: MATTA Fair Melaka 2026 Giat Promosi Pelancongan Domestik

06/04/2026 07:52 PM

MELAKA, 6 April (Bernama) -- Penganjuran Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Melaka 2026 menjadi platform penting dalam mempergiat promosi pelancongan domestik susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada perjalanan pelancong.

Pengerusi Penganjur MATTA Fair Melaka 2026 Halimah Ahmad berkata situasi tersebut juga mendorong peningkatan permintaan terhadap pakej pelancongan tempatan dan serantau, termasuk Melaka sebagai destinasi percutian alternatif.

"Ia termasuk pelancong dari Asia Timur seperti China, Jepun dan Korea Selatan yang kian menunjukkan minat tinggi terhadap destinasi percutian yang terdapat di negara ini.

“Dalam masa sama, permintaan domestik turut mencatatkan peningkatan memberangsangkan sejajar dengan usaha menggalakkan pelancongan tempatan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Sekretariat MATTA Melaka Chapter, Bukit Baru di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi MATTA Melaka Goh Hock Gin dan Penolong Pengarah Pelancongan Malaysia Wilayah Selatan Norisyam Odzali.

Halimah berkata permintaan dalam kalangan pelancong domestik turut meningkat, khususnya bagi produk unik seperti houseboat di Perak, Melaka selain Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata pakej bagi destinasi pelancongan di pulau dalam negara ini seperti Langkawi, Redang dan Perhentian masih menjadi kegemaran pelancong.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung sempena penganjuran MATTA Fair Melaka 2026 yang akan berlangsung di sebuah pasar raya di sini, dari 17 hingga 19 April ini.

Beliau berkata pameran itu menawarkan lebih 100 pakej pelancongan dalam dan luar negara yang merupakan acara tahunan bagi mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama di rantau Asia serta hab mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

Program dijangka menghimpunkan lebih 30 pempamer dengan 40 gerai melibatkan pelbagai segmen termasuk domestik, antarabangsa, taman tema, produk tempatan serta pakej umrah dan haji, di samping mempromosikan 14 subsektor pelancongan negeri seperti sejarah, budaya, rekreasi, kesihatan, pendidikan dan ekopelancongan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan