LANGKAWI, 13 Sept -- Pelancong asing dan tempatan yang ingin mengenakan busana tradisional Melayu yang diinspirasikan daripada Legenda Puteri dan Srikandi Melayu kini berpeluang berbuat demikian dengan pembukaan Rumah Kesenian Perkahwinan dan Busana Srikandi Melayu (Srikandi) di Oriental Village, Teluk Burau di sini.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata Srikandi bakal menjadi ikon terbaharu serta memberi nilai tambah terhadap Oriental Village, antara lokasi destinasi wajib dikunjungi pelancong yang datang ke pulau peranginan bebas cukai ini untuk menaiki Langkawi SkyCab, kereta kabel yang menghubungkan Oriental Village di Teluk Burau dengan Gunung Mat Chinchang.
“Saya pernah sebut sebelum ini kita perlu adakan produk-produk pelancongan baharu yang ada di Langkawi ini yang tulen, yang asli serta berasal dari kawasan ini. Saya yakin pembukaan galeri ini merupaksan salah satu cara kita untuk menarik pelancong serta memberi nilai tambah baharu kepada Langkawi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian pembukaan Srikandi, yang menampilkan kolaborasi Golden Art Gallery Sdn Bhd dan pereka fesyen terkenal tanah air, Rizman Ruzainidi Oriental Village, di sini hari ini.
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat, Juhari Bulat, Adun Kuah Mohd Firdaus Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan dan Pengarah Golden Art Gallery Sdn Bhd Datuk Anuar Rahman.
Srikandi merupakan sebuah galeri yang menampilkan Legenda Puteri serta Srikandi Pahlawan Melayu seperti Tun Fatimah, Tun Kudu, Tun Teja, Puteri Hang Li Po, Puteri Perak, Puteri Saadong,l Puteri Gunung Ledang, Walinong Sari, Che Siti Wan Kembang dan Mahsuri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial