EKONOMI

Kekurangan kemahiran, ketakpadanan pekerjaan boleh jejaskan ekonomi

12/09/2019 03:59 PM

PUTRAJAYA, 12 Sept -- Kekurangan kemahiran dan ketakpadanan pekerjaan dalam kalangan pekerja di Malaysia boleh menyebabkan akibat yang serius sekiranya masalah itu tidak ditangani, menurut Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran.

Beliau berkata kesannya bukan hanya kepada ekonomi negara malah industri utama seperti penjagaan kesihatan, pembuatan dan pembinaan, memandangkan pertumbuhan sektor ini dipacu oleh pekerja berkemahiran.

Perbincangan dengan para ketua pegawai eksekutif syarikat baru-baru ini turut mengejutkan apabila mendapati berlaku kekurangan pekerja mahir selain syarikat sukar mencari perantis daripada kementerian ini, yang melatih kira-kira 15,000 orang di bawah program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula, katanya.

“Ini mungkin disebabkan ketakpadanan pekerjaan atau sesuatu yang tidak menyelaras secara baik,” katanya semasa melancarkan laporan ‘Monitoring Occupational Shortages: Lessons from Malaysia's Critical Occupations List’ di sini, hari ini.

Selain teknologi terkini seperti kecerdasan buatan dan analisis data raya, Kula Segaran berkata kemahiran tradisional seperti kimpalan juga mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran tenaga kerja.

“Ramai pihak tidak menyedari kepentingan kemahiran ini, yang mudah didapati di institusi latihan di bawah kementerian ini.

“Apabila mendapat pekerjaan, mereka memperoleh pendapatan yang tinggi tapi bagi rakyat Malaysia pekerjaan berkemahiran seumpama ini adalah pilihan terakhir, dan pemikiran ini mereka perlu ubah,” katanya.

Beliau berkata kementerian ini juga akan menyerahkan kertas cadangan kepada kerajaan Persekutuan bagi penyediaan dana dan insentif khas di bawah Belanjawan 2020 bagi tujuan mempelajari kemahiran sedemikian.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan