GEORGE TOWN, 1 Feb (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) buat julung kalinya menyediakan reruai khas sempena sambutan Thaipusam di Pulau Pinang bagi menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada pengunjung dan petugas perayaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata reruai itu bukan sahaja menjadi pusat maklumat berkaitan program, geran dan dana pembiayaan kementerian, malah turut menyediakan ruang rehat, makanan, minuman serta saringan kesihatan kepada orang ramai.
“Tempat itu sesuai untuk semua yang berada di tapak perayaan Thaipusam di Pulau Pinang ini, termasuk warga emas, OKU serta ibu yang membawa anak kecil,” katanya selepas meninjau reruai KUSKOP yang disediakan berhampiran Kuil Ayira Vaisiyar Sri Meenakshi Sundareswarar di sini hari ini.
Sim berkata reruai KUSKOP tahun ini turut disertai kira-kira 200 sukarelawan dikenali sebagai ‘wira KUSKOP’ terdiri daripada anak muda pelbagai kaum dan agama bagi membantu aspek logistik, trafik serta kebajikan pengunjung.
Beliau berkata keadaan itu mencerminkan semangat gotong-royong rakyat Malaysia dalam menjayakan perayaan masyarakat berbilang kaum.
‘Reruai KUSKOP menerima antara 1,000 hingga 2,000 pengunjung sepanjang program itu berlangsung termasuk golongan muda yang mendapatkan maklumat berkaitan bantuan keusahawanan khusus untuk usahawan India,” katanya.
Pada majlis itu, Sim turut mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada kuil Thaneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam sebagai sokongan terhadap aktiviti kuil bersejarah berkenaan.
Beliau berkata sambutan Thaipusam tahun ini adalah perayaan ke-240 di kuil berkenaan, sekali gus membuktikan sejarah panjang komuniti India dan penganut Hindu di Pulau Pinang.
Selain itu, Sim turut mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada Kuil Ayira Vaisiyar Sri Meenakshi Sundareswarar bagi membantu usaha kebajikan dan kerja amal institusi berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial