KUALA LUMPUR, 11 Sept -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 3,720 helai tudung jenama Bawal Exclusive dipercayai tiruan bernilai RM49,500 dalam 'Ops Barang Tiruan' di sebuah premis di pusat beli belah di Jalan Munshi Abdullah di sini, semalam.
Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Rosli Ahmad berkata operasi dilakukan selepas menerima aduan daripada pengasas tudung berkenaan yang memiliki cap dagang tudung itu.
"Hasil pemeriksaan dan serbuan ke atas premis berkenaan mendapati ia merupakan kedai menjual tudung jenama Bawal Exclusive yang disyaki tiruan itu.
"Barang-barang itu telah disita dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Semalam KPDNHEP Kedah turut merampas 1,631 helai tudung jenama sama bernilai RM24,465 dipercayai tiruan dalam serbuan di sebuah premis borong di Jalan Langgar, Alor Setar, dan difahamkan tudung tiruan itu dijual pada harga hanya belasan ringgit sehelai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial