KOTA KINABALU, 19 Ogos (Bernama) -- Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew hari ini menggesa golongan usahawan mengeksploitasi sepenuhnya kekayaan sumber alam semula jadi di negeri ini.
“Sabah mempunyai banyak sumber alam semula jadi yang belum diguna dalam bidang perniagaan termasuk sumber laut, perhutanan, perkebunan, pelancongan, kraftangan, makanan dan peruncitan.
“Oleh itu, terpulang kepada para usahawan untuk merancang dan memulakan langkah meneroka sumber yang ada.
“Kerajaan melalui pelbagai agensi sudah pasti sentiasa bersedia memberi bimbingan dan bantuan bersesuaian dengan perusahaan dijalankan,” katanya ketika menutup Seminar Peluang Usaha dan Niaga B40 di sini.
Beliau berkata di pihak kerajaan pelbagai kaedah terbaik difikirkan ke arah meningkatkan pendapatan B40 memandangkan golongan itu turut berpotensi untuk digerakkan menceburi bidang perniagaan kecil dan sederhana.
Seminar sehari bertemakan “Ke Arah Mercu Kejayaan B40” itu dihadiri lebih 150 peserta selain turut disertai sebanyak 10 agensi dan institusi kewangan berkaitan termasuk SME Bank, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Tekun Nasional.
Sementara itu, Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata kementeriannya akan terus berusaha mempromosi hasil kraftangan penduduk luar bandar tidak hanya untuk pasaran domestik tetapi juga antarabangsa.
Kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sabah juga telah membuat tempahan kraftangan tempatan dari luar bandar dan pedalaman negeri bagi memastikan produk berkenaan mencukupi seiring dengan sasaran permintaan seramai empat juta pelancong ke Sabah pada tahun ini, katanya.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial