EKONOMI

BCB OPTIMIS PENJUALAN BROADLEAF RESIDENCES KOTA KEMUNING

10/08/2019 01:03 PM

SHAH ALAM, 10 Ogos (Bernama) -- Pemaju hartanah, BCB Bhd optimis dalam penjualan projek kediaman mewahnya Broadleaf Residences  di Persiaran Anggerik Renantanda, Kota Kemuning  yang dilancar Julai lepas.

Pengurus Pemasarannya Low Wai Leng berkata, Broadleaf Residences  yang bercirikan urban, moden dan mewah diyakini mampu menepati cita rasa pembeli rumah masa kini.

Beliau berkata projek itu dilengkapi pelbagai kemudahan, rumah kelab individu, 24 jam kejiranan berpengawal serta suasana persekitaran yang hijau.

Projek itu dengan nilai pembangunan kasar RM660 juta  dijangka siap pada Disember 2021.

Projek itu terdiri daripada 51 unit banglo tiga tingkat berkeluasan antara 4,942 hingga 6,081 kaki persegi dan 244 unit rumah berkembar tiga tingkat (semi-D) dengan keluasan 4,654 kaki persegi.

Harga jualan bagi unit banglo bermula RM2.8 juta sehingga RM4 juta, manakala semi-D bermula dari RM1.9 juta.

"BCB tidak menetapkan had tempoh sasaran penjualan, namun selepas kami mula memasarkan projek kediaman tersebut kepada orang ramai pada akhir 2018, sehingga hari ini 107 telah dijual antara 159 unit yang dipasarkan daripada 295 unit keseluruhan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, faktor lokasi strategik kediaman itu yang terletak di bandar Kota Kemuning dan akses mudah ke beberapa lebuhraya utama turut menjadi daya penarik kepada orang ramai membeli kediaman mewah tersebut.

"Untuk tahun ini, permintaan terhadap kedua-dua jenis kediaman tersebut amat memberangsangkan dan kami  yakin ia akan dapat dijual dalam tempoh terdekat," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan