KOTA BHARU, 31 Julai (Bernama) -- Langkah kerajaan melaksanakan dekreminalisasi ke atas penagih dadah akan meningkatkan penyalahgunaan barangan terlarang itu, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Mohd Amar berkata undang-undang yang digunakan ke atas penyalahgunaan dadah perlu dikekalkan, namun dalam masa yang sama kerajaan perlu tampil dengan program-program pencegahan yang baharu.
"Dalam keadaan ia dianggap sebagai satu jenayah pun kita tak boleh nak kawal dengan jumlah penagih dadah terus bertambah walaupun kerajaan wujudkan pelbagai program bagi mengatasi penyalahgunaan dadah.
"Sebab itu bagi saya undang-undang yang ada sekarang ini perlu dikekalkan dan ada usaha-usaha (baharu) yang lain untuk memulihkan (penagih dadah)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Beliau turut menyarankan kepada kerajaan untuk melaksanakan operasi secara besar-besaran bagi menangkap 'tokan' dadah berbanding menangkap pengedar kecil-kecilan.
"Sebab hari ini kita tengok dalam penguatkuasaan banyak 'ikan-ikan bilis' yang kena sedangkan orang-orang besar (tokan) yang terlibat dengan penjualan dan pengedaran dadah terlepas, itu yang kita tak boleh selesai jadi kena ada tindakan (operasi) besar-besaran daripada pihak kerajaan," katanya.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dilaporkan berkata penagih dadah di negara kini tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah yang perlu dihukum sebaliknya pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan.
Dalam perkembangan lain, Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata parti itu menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga penggal berakhir kerana melihat hanya beliau yang mampu mengawal dan memastikan kestabilan dalam kerajaan.
"Kalau orang lain mungkin akan menyebabkan akan berlaku kerajaan yang tak stabil. Bila tak stabil akan memberi kesan kepada politik dan ekonomi negara, itu pandangan kita, bukan saja-saja (PAS) sokong Dr Mahathir tapi kita lihat beberapa aspek yang lain," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial