REMBAU, 29 Julai (Bernama) -- Penganjuran program Sirkit Memanah Tradisional di peringkat sekolah merupakan usaha memperkenalkan sukan memanah tradisional kepada generasi muda sekali gus bagi memastikan sukan ini mendapat tempat dan diiktiraf di peringkat kejohanan sukan di negara ini.
Presiden Persatuan Memanah Warisan Negeri Sembilan Hamdan Mustaffa berkata setiap persatuan memanah tradisional di seluruh Malaysia dalam usaha untuk mendaftarkan Pertubuhan Memanah Tradisional Malaysia di bawah Pesuruhjaya Sukan.
“Ini bagi membolehkan sukan ini diiktiraf dalam kejohanan sukan di negara ini seperti Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Sukan Malaysia (Sukma).
"Kami juga berharap sukan ini dimasukkan dalam kokurikulum di peringkat sekolah seperti sukan memanah moden. Oleh itu, kami perlu memastikan Pertubuhan Memanah Tradisional Malaysia ini didaftarkan dan seterusnya boleh membuat permohonan kepada pihak Kementerian Pendidikan berkenaan cadangan memasukkan sukan ini diiktiraf di peringkat sekolah,” katanya ketika ditemui Bernama pada program Sirkit Memanah Tradisional Sekolah-sekolah Tertutup Negeri Sembilan Siri 2/2019 di sini.
Beliau berkata buat masa ini pihaknya hanya memperkenalkan sukan ini melalui kejohanan tertutup yang diadakan di sekolah bagaimanapun usaha ke arah langkah-langkah memastikan sukan ini diiktiraf dan diterima di negara ini terutama di peringkat sekolah sedang dipergiat.
Hamdan berkata melihat potensi anak muda menyertai Sirkit Memanah Tradisional Sekolah-Sekolah Tertutup yang telah masuk kali ke-2 itu, mampu melahirkan pemanah tradisional untuk mewakili negara sekali gus melakar kejayaan membanggakan Malaysia pada suatu hari nanti.
"Anak muda ini sebenarnya berminat tetapi tidak didedahkan di peringkat sekolah. Jadi kami cuba memperkenalkan sukan memanah tradisional ini melalui aktiviti dan program diadakan dengan kerjasama pihak sekolah.
"Matlamat kami mulakan di peringkat anak-anak muda yang cilik ini bagi menimbulkan minat kepada mereka terhadap sukan ini selain memperkenalkan budaya kita melalui pemakaian tradisional ketika melakukan aktiviti memanah sekali gus mengembalikan semangat cinta terhadap budaya dan adat resam kita sendiri," katanya.
Sementara itu, pemanah cilik, Noorol Ihsan An-Nasirah Ramlee, 9, berkata beliau minat menceburi sukan memanah kerana sukan ini mengajar dirinya menjadi lebih fokus selain mempelajari keistimewaan dalam aktiviti sukan memanah tradisional.
Program sehari itu merupakan anjuran Kelab Memanah Warisan Undang Luak Rembau dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Legong Ulu, Rembau dan ia disertai 80 peserta berumur seawal 6 tahun hingga 17 tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial