AM

18 PENGAMAL MEDIA DALAM DAN LUAR NEGARA, TEROKAI NEGERI SARAWAK

20/07/2019 12:41 AM

KUCHING, 19 Julai (Bernama) -- Seramai 18 pengamal media dari dalam dan luar negara telah menyertai Program Pengenalan Mega Malaysia (Mega Fam) bagi merasai sendiri pengalaman menerokai keunikan di Sarawak.

Wartawan-wartawan yang menyertai program kali ini termasuklah dari Australia, German, Jepun, Rusia, Korea Selatan, Taiwan, Amerika Syarikat, Kemboja, Vietnam, Laos dan Singapura.

Mega Fam yang bertemakan “Mari Lakukan Suatu Kelainan” (Let’s Do Something Different) itu merupakan program anjuran Tourism Malaysia dalam usaha mempromosikan destinasi-destinasi menarik di negara ini.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berkata mereka memilih Sarawak sebagai destinasi Mega Fam kali ini, kerana negeri ini kaya dengan biodiversitinya.

“Program ini juga sesuai dengan hasrat Tourism Malaysia yang mahu mempromosikan eko-pelancongan di negeri ini, bersempena dengan Tahun Melawat Sarawak.

“Pengamal media ini telah dibawa ke beberapa lokasi menarik di Sarawak, seperti di Pusat Hidupan Liar Semenggok, Kampung Danu dan Rumah Panjang di Batang Ai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri makan malam perpisahan program Mega Fam di sini, malam ini.

Musa berkata dengan pengalaman yang dirasai pengamal media luar itu sendiri, mereka boleh berkongsi cerita yang menarik di negara masing-masing, di samping mempromosikan keunikan, kekayaan budaya dan destinasi yang ada di Malaysia.

“Kita mahu para pelancong yang datang ke Malaysia, turut pergi jauh sampai ke negeri Sarawak, agar mereka boleh tinggal lebih lama di negara kita.

“Jika mereka tinggal lebih lama, maka perbelanjaan akan bertambah, jadi secara tidak langsung, pendapatan dari kedatangan pelancong ke negara ini juga akan bertambah,” katanya.

Katanya, untuk suku pertama tahun ini, iaitu bagi tempoh tiga bulan pertama sahaja, jumlah pendapatan  hasil daripada kedatangan pelancongan ke negara ini, telah mencatatkan jumlah sebanyak RM21.4 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan