AM

TUANKU MUHRIZ RASMI PERSIDANGAN FEDERALISME DI MALAYSIA

01/07/2019 05:03 PM

NILAI, 1 Julai (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini berangkat merasmikan persidangan ‘Federalisme di Malaysia: Mentakrif Semula Hubungan Persekutuan-Negeri di Malaysia’ di sini.

Berangkat sama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud serta anakanda baginda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-'Abidin. 

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah turut hadir.

Dalam ucapannya, Tuanku Muhriz bertitah rakyat harus berpegang kepada prinsip subsidiari yang mana kuasa peringkat tempatan membenarkan kerajaan negeri respons kepada kebimbangan rakyat tempatan dengan lebih berkesan.

 “Walaupun setia kepada Persekutuan, kita tidak boleh berakhir dengan ‘parochialism’ (fahaman sempit mengenai) Persekutuan.

“Justeru, kita perlu meneroka sama ada terdapat keseimbangan antara hak negeri masing-masing untuk mencapai matlamat mereka sendiri dan kepentingan nasional - dan ini berkaitan dengan penentuan siapa atau badan mana sebagai pihak berkuasa yang meluluskan,” titahnya.

Tuanku Muhriz menambah subjek desentralisasi fiskal juga perlu diteroka serta meningkatkan peluang pendapatan langsung bagi negeri-negeri untuk membolehkan mereka melaksanakan projek.

“Beta berharap persidangan ini akan mencapai penilaian objektif federalisme yang mana telah dilaksanakan lebih 60 tahun dan langkah-langkah yang perlu diambil dalam bergerak ke hadapan,” katanya.

Persidangan dua hari yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu bertujuan menggalakkan pemahaman dan wacana yang lebih luas, serta membolehkan generasi Malaysia masa kini menghargai visi para pengasas negara dan kaitan federalisme dalam persekitaran zaman sekarang.

Penceramah utama pada persidangan itu ialah Tunku Zain yang juga Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Hakim Mahkamah Rayuan yang sudah bersara, Datuk Seri Hishamudin Yunus.

Sementara itu, Pengerusi jawatankuasa penganjur S. Saravana Kumar berkata terdapat enam sesi khusus yang mana sesi pertama dan kedua akan membincangkan konsep federalisme daripada dua aspek pada peringkat kebangsaan dan konteks sejarah Negeri Sembilan.

“Sesi ketiga mengetengahkan isu tadbir urus yang dihadapi hasil daripada kerajaan pusat yang kukuh manakala sesi keempat menyelidik pengurusan konflik dan hubungan antara negeri, sesi kelima pula akan mengulas masa depan federalisme dengan membincangkan langkah-langkah yang perlu dipertimbangkan oleh pemimpin politik dan sesi keenam memberikan pandangan mengenai pengalaman federalisme daripada bidang kuasa lain,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan