AM

KEMATIAN RAMAI ORANG ASLI BATEK SESUATU YANG TIDAK PERNAH BERLAKU - JAKOA

23/06/2019 07:02 PM

KOTA BHARU, 23 Jun (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyifatkan kes kematian mendadak Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang dalam jumlah yang ramai adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam masyarakat berkenaan.

Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata ia boleh dianggap sebagai sejarah hitam bagi masyarakat Orang Asli dan satu perkara yang luar biasa.

Beliau berkata proses pengebumian 15 jenazah Orang Asli yang meninggal dunia dipercayai akibat demam campak dalam satu liang lahad hari ini mengambil masa selama hampir sejam dan akan sentiasa dikenang oleh penduduk Orang Asli.

"Kami berharap tragedi seumpama ini tidak lagi berulang dan kita menasihatkan mana-mana Orang Asli yang mempunyai simptom penyakit segeralah mendapatkan rawatan di hospital.

"Selepas kejadian ini kita juga mendapati sudah ada kesedaran dalam kalangan masyarakat Orang Asli mengenai penyakit khususnya yang berjangkit seperti campak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai pengebumian 15 jenazah Orang Asli itu, beliau berkata kira-kira 50 penduduk hadir termasuk kaum keluarga mangsa yang meninggal dunia.

Menurutnya hasil pertemuan dengan penduduk Orang Asli Kuala Koh yang menumpang di Kem Etnobotani, Gua Musang mendapati sudah wujud kesedaran dalam kalangan mereka mengenai penyakit dan kebersihan.

Katanya semua penduduk menunjukkan reaksi positif dan Jakoa serta penduduk bakal mengadakan program pembersihan di penempatan mereka selepas kawasan itu diisytiharkan selamat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan