Oleh DIAH NOR ISCAHYONO
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Kepakaran tenaga tempatan dalam kemahiran Kesan Khas Visual (VFX) khususnya dalam teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) adalah setanding dengan kepakaran negara maju.
Pakar Kesan Khas Visual, Asrulhisham Ahmad berkata perkara ini dibuktikan apabila beberapa filem antarabangsa menggunakan tenaga kerja warga tempatan bagi penghasilan CGI dalam filem tertentu.
"”Filem Life of Pi, Xmen First Class, Snow White saya rasa 80 orang Malaysia yang buat VFX dalam filem itu. Sebab ada syarikat Hollywood buka di Cyberjaya dan menggunakan khidmat rakyat tempatan untuk bekerja dalam filem Hollywood," katanya pada program Upsound terbitan Bernama News Channel (Astro 502) bertajuk 'Kesan Khas Visual; Menggugat Privasi?’.
Ditanya berkenaan kualiti VFX filem tempatan yang dikatakan agak ketinggalan jika dibandingkan dengan filem-filem terbitan Hollywood, beliau menjelaskan bahawa faktor utama adalah kekangan kewangan atau dana yang diperuntukkan untuk penghasilan sesebuah filem.
"Masalah utama adalah kewangan, bukannya bersandarkan kepada faktor kemahiran," tambah beliau.
Dalam pada itu, Asrulhisham juga menegaskan bahawa VFX bukan sesuatu yang mustahil untuk diaplikasi dalam penghasilan sesebuah filem atau video, namun ia akan melibatkan pelbagai persediaan sebelum menggunakan teknik tersebut dalam proses suntingan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial