JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak Autistik Hilang Ditemukan Meninggal Dunia Di Kebun Kelapa Sawit

01/07/2026 09:30 AM

IPOH, 1 Julai (Bernama) -- Kanak-kanak lelaki autistik berusia enam tahun yang dilaporkan hilang sejak petang semalam ditemukan meninggal dunia di kawasan kelapa sawit di Kampung Baru dekat Sungai Sumun, Hutan Melintang, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat daripada polis mengenai kehilangan kanak-kanak itu pada 6.24 petang sebelum sepasukan angggota Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata ketua operasi dimaklumkan bapa mangsa menyedari kehilangan anaknya apabila mendapati kanak-kanak itu tiada di dalam rumah dan pintu hadapan rumah dalam keadaan terbuka.

"Usaha pencarian awal telah dilakukan oleh bapa mangsa di sekitar rumah serta kawasan kebun kelapa sawit berhampiran namun gagal menemui mangsa.

"Laporan polis mengenai kehilangan kanak-kanak tersebut telah dibuat pada 3.30 petang semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata mangsa telah ditemui oleh orang awam di dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit tersebut pada 10.08 malam semasa operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Beliau berkata mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira 11 malam.

Sementara itu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bagan Datuk memaklumkan mangsa merupakan orang kelainan upaya (OKU) autisme.

 Kenyataan itu memaklumkan mangsa telah dijumpai oleh orang kampung kira-kira 330 meter dari rumah kanak-kanak itu dan disahkan meninggal dunia oleh pihak forensik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan