AM

JAKOA SEDIA LOGISTIK KEPADA AGENSI KERAJAAN

09/06/2019 06:02 PM

KUALA KRAI, 9 Jun (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menyediakan kemudahan logistik terutama kemudahan pengangkutan kepada agensi kerajaan untuk menjalankan siasatan berhubung jangkitan penyakit radang paru-paru membabitkan masyarakat Orang Asli suku kaum Batik di Kuala Koh, Gua Musang.

Ketua Pengarahnya Prof Dr Juli Edo berkata pihaknya akan bekerja rapat dengan pelbagai agensi terutama terhadap dakwaan berlakunya pencemaran air disebabkan aktiviti perlombongan yang menjadi sumber air kepada penduduk.

"JAKOA kini sedang merancang untuk membekalkan air mentah kepada penduduk sebagai bantuan awal kepada mereka berikutan munculnya dakwaan sumber air mereka telah tercemar.

"Harapan kami di JAKOA supaya penyakit berkenaan bukanlah penyakit berjangkit yang merebak," katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi 10 pesakit Orang Asli di Hospital Kuala Krai di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Senator Datuk Husam Musa.

Juli berkata terdapat 196 penduduk Orang Asli suku kaum Batik membabitkan 52 keluarga yang menghuni perkampungan di Kuala Koh.

-- BERNAMA  


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan