AM

Cari kaedah galakkan pelancong berkunjung ke tempat bersejarah

02/06/2019 09:38 AM

JOHOR BAHRU, 2 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan berusaha mencari penyelesaian agar tempat-tempat bersejarah seperti muzium di negeri ini dikunjungi lebih ramai pelancong asing.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar yang memberikan jaminan itu berkata pendekatan ini diambil kerana tempat sedemikian kurang didedahkan kepada pelancong.

“…sedangkan dekat overseas (seberang laut), orang berminat nak pergi tempat bersejarah tetapi di Malaysia terutamanya Johor, lain.

Pihak pemandu pelancong lebih cenderung untuk membawa pelancong-pelancong ke mall (pusat membeli-belah) dan taman tema dan tidak sampai ke tempat-tempat bersejarah, walaupun kita tahu Johor ada banyak sejarah,” katanya dalam satu temu bual di sini, baru-baru ini.

Justeru itu, beliau menyifatkan usaha lebih tersusun perlu dilakukan antara pihaknya dan juga pihak Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Liow Cai Tung agar kecenderungan pelancong untuk mengunjungi tempat berkenaan berjaya dipupuk.

Ini sekali gus bertepatan dengan komitmen kedua-dua pihak untuk mempromosikan tahun depan sebagai “Tahun Melawat Johor”.

“Dalam melakukan usaha ini, kita juga akan mencari jalan untuk memastikan limpahan ekonomi hasil daripada aktiviti pelancongan ini dapat dinikmati oleh segenap masyarakat.

Ini kerana di Yogyakarta (Indonesia) misalnya, saya dapat melihat limpahan ekonomi dari tempat tarikan sebegini (tempat bersejarah) terarah kepada penduduk sekeliling yang membolehkan mereka menjual baju, menjadi pemandu pelancong dan sebagainya. Ini berbeza sekali dengan situasi di Malaysia terutamanya Johor,” kata beliau.

Sementara itu, mengulas Tahun Melawat Johor, Mohd Khuzzan berkata pelbagai program telah diatur untuk mengetengahkan warisan dan budaya yang ada pada negeri ini.

Ia termasuk menganjurkan Festival Warisan Makanan Johor, Festival Muzik dan Festival Tarian Rakyat.

“Festival Warisan Makanan contohnya mengetengahkan masyarakat dengan makanan yang jarang didengari kewujudannya seperti “Arisa” manakala Festival Muzik pula mendedahkan kita dengan permainan muzik dari tiga kaum iaitu kompang yang sinonim dengan masyarakat Melayu, Gendang 24 (Cina) dan tabla (India).

Kita berharap penganjurannya bukan sahaja akan menarik pelancong asing malah membolehkan rakyat membudayakan budaya, seperti mana dilakukan beberapa negara seperti Jepun dan juga Indonesia,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan