AM

Penagih pertaruh nyawa panjat pokok kelapa elak ditahan

20/03/2019 09:47 AM

KUANTAN, 20 Mac (Bernama) -- Gara-gara takut ditahan oleh pihak berkuasa, seorang penagih dadah nekad memanjat pokok kelapa setinggi lebih 15 meter dalam operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Cherok Paloh di sini, petang semalam.

Ketua Pegawai Agensi Penguatkuasaan AADK Kuantan, Nor Haffiza Ibrahim berkata, dalam operasi pada pukul 2.30 petang itu, lelaki berkenaan turut mempertaruhkan nyawanya dengan berpaut lebih sejam setengah di atas pokok itu sebelum berjaya dipujuk untuk turun oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

"Semasa Ops Perdana dilakukan anggota AADK telah melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di kampung itu, namun sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa, seorang lelaki berusia 25 tahun segera bergegas keluar daripada rumah bagi mengelak daripada diperiksa.

Ketika dikejar suspek telah melarikan dengan memanjat sebatang pokok kelapa hingga ke puncak dan kejadian berlaku berhadapan Masjid Cherok Paloh,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Susulan itu, katanya anggota AADK cuba memujuk suspek supaya turun namun tidak diendahkan dan menyebabkan pihak bomba dipanggil untuk membantu menurunkan suspek.

Katanya, anggota bomba yang tiba 30 minit kemudian telah mengambil masa kira-kira satu jam sebelum berjaya memujuk suspek yang hanya berseluar pendek itu untuk turun dengan selamat pada 4 petang tadi.

Nor Haffiza berkata, hasil ujian air kencing suspek didapati positif dadah jenis syabu dan dipercayai telah mula terlibat dengan penyalahgunaan dadah sejak berusia 17 tahun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan