GEORGE TOWN, 5 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang pemandu lori treler hari ini bagi membantu siasatan kes kemalangan yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Jalan Permatang Pauh dekat sini, yang insidennya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 8.20 malam tadi dan siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal yang datang dari arah Mak Mandin menuju ke Permatang Pauh bergerak terus di simpang tiga ketika lampu isyarat berwarna hijau.
“Pada masa sama, lori treler yang datang dari arah bertentangan membelok ke kanan secara tiba-tiba tanpa berhenti di lampu isyarat dan penunggang motosikal tidak sempat mengelak, lalu melanggar bahagian tengah sebelah kiri lori treler berkenaan.
“Akibat kejadian, penunggang motosikal berumur 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ujian saringan awal air kencing pemandu lori berusia 40 tahun itu juga didapati negatif dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.
Helmi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial