MUMBAI, 15 Mac (Bernama) -- Angka korban tragedi jambatan pejalan kaki runtuh di ibu kota kewangan India, Mumbai, telah meningkat kepada lima orang termasuk tiga wanita, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan pada lewat Khamis.
Insiden itu turut menyebabkan 32 orang cedera.
Dibina pada 1980, jambatan pejalan kaki itu runtuh semasa waktu puncak pada Khamis kira-kira pukul 7.30 malam.
Ia dihubungkan kepada Terminal Chhatrapati Shivaji Maharaj, antara stesen kereta api paling sibuk di India.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Keretapi menyebut "Jambatan itu dimiliki BMC (Perbadanan Perbandaran Brihanmumbai). Bagaimanapun, kami menyalurkan semua bantuan yang diperlukan kepada mangsa. Doktor dan kakitangan kereta api kini bekerjasama dengan BMC dalam operasi bantuan dan menyelamat."
Melahirkan kesedihan atas kehilangan nyawa, Perdana Menteri Narendra Modi berkata "Ingatan dan doa saya bersama keluarga yang kehilangan orang tersayang. Saya berharap mangsa yang cedera akan sembuh secepat mungkin. Kerajaan Maharashtra kini menyalurkan semua bantuan yang perlu kepada mereka yang terjejas."
Turut menzahirkan kesedihan berhubung insiden itu, Devendra Fadnavis, Ketua Menteri Maharashtra berkata "Kami telah mengarahkan siasatan di peringkat tinggi. Jambatan ini telah dibina pada 1980. Jambatan ini didapati 'kukuh' dalam audit struktur.
"Kami akan menyiasat pihak yang bertanggungjawab melakukan audit ini. Kami juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab. Sagu hati sebanyak US$7,210 akan diberikan kepada waris mangsa yang meninggal dunia manakala US$721 kepada mereka yang cedera. Laporan siasatan awal akan diperoleh tidak lama lagi."
Susulan insiden jambatan Gokhale yang runtuh di pinggir bandar Mumbai iaitu Andheri pada Julai lepas, pihak perbadanan perbandaran itu memutuskan untuk menjalankan satu audit struktur ke atas sejumlah 296 jambatan di bandar tersebut.
Berdasarkan penemuan laporan itu, sejumlah 18 jambatan termasuk lapan jambatan pejalan kaki akan dimusnahkan dan dibina semula.
Sejumlah 61 jambatan memerlukan baik pulih secara besar-besaran, 107 perlukan pembaikan kecil manakala 110 didapati berada dalam keadaan memuaskan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial