BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Berikut adalah kronologi kejadian pencemaran sisa bahan kimia yang menyebabkan sehingga kini 13 buah sekolah di sekitar Pasir Gudang ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Khamis lalu.
* 7 Mac (9.30 pagi) : Pihak pengurusan dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih mengesan persekitaran udara di sekolah berbau bahan kimia dan telah memaklumkan perkara itu kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Gudang.
* 10 pagi : Terdapat pelajar yang mengalami simptom pening kepala muntah dan mual. Lapan ambulan dikejarkan ke dua sekolah berkenaan untuk membantu 24 pelajar dan masing-masing seorang guru dan pekerja kantin yang pengsan.
Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) dan Bomba mengesahkan kemungkinan berlaku kebocoran gas di kawasan sekolah kerana lokasi sekolah berhampiran kawasan industri dan arahan pengosongan premis dikeluarkan. Kedua-dua sekolah itu ditutup tiga hari sehingga Sabtu dan 35 orang dirawat di hospital, tiga daripadanya di Unit Rawatan Rapi.
*8 Mac : Jumlah mangsa yang dirawat 39 orang.
*9 Mac : Jumlah mangsa yang mendapatkan rawatan terus meningkat kepada 79 orang.
* 10 Mac : Guru-guru SMK Pasir Putih dan SK Pasir Putih bergotong-royong melakukan kerja pembersihan sekolah susulan kejadian pencemaran udara dipercayai akibat pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim.
Jumlah mangsa meningkat kepada 82 orang.
* 11 Mac : Tiga lelaki termasuk dua pemilik kilang ditahan kerana disyaki membuang sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim.
- 7 pagi : Sekolah dibuka dan proses pembelajaran berjalan dengan baik seperti biasa.
- 11.30 pagi : Berlaku insiden gelombang kedua apabila kedua-dua pengurusan sekolah melaporkan kes murid pening kepala. Pihak sekolah mengarahkan sekolah dikosongkan kerana berlaku keadaan udara tidak sihat dan murid-murid dibenar pulang.
- 11 malam : Seramai 29 orang dihantar ke Klinik Kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut manakala 77 lagi dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
Berdasarkan nasihat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD), JPN Johor memutuskan kedua-dua sekolah berkenaan ditutup sehingga dimaklumkan kelak.
Secara keseluruhan jumlah mangsa yang mendapat rawatan ialah 260 orang.
* 12 Mac : Dua lagi sekolah iaitu SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung Puteri dalam daerah Pasir Gudang ditutup berikutan 50 pelajar SMK Tanjung Puteri dan lima murid SK Tanjung Puteri Resort mempunyai simptom akibat terhidu bahan kimia.
- Sebanyak 13 sekolah di sekitar Pasir Gudang diarah tutup sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan.
Sekolah-sekolah yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih; SK Tanjung Puteri Resort; SMK Tanjung Puteri Resort; SK Pasir Putih; SK Kota Masai 2; SMK Kota Masai 2; SK Kota Masai 3; SMK Kota Masai; SK Kota Masai; SK Perigi Acheh; Sekolah Agama Kampung Pasir Putih; dan Sekolah Agama Taman Pasir Putih.
Sejumlah 306 orang telah dirawat hari Selasa,12 Mac.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial