BERITA TERGEMPAR   Peningkatan luar biasa TVET di Malaysia didorong dasar kerajaan dan komitmen TPM Ahmad Zahid - PM Anwar | 
 AM

Projek klon pisang ubah nasib masyarakat

01/03/2019 09:15 AM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Inisiatif  Fakulti Sains Universiti Malaya membawa hasil kajian kultur tisu pisang ke lapangan, berjaya mengubah perspektif masyarakat mengenai 'sentuhan' sains ke atas pertanian.

Dekan Fakulti Sains Universiti Malaya (UM), Prof Dr Norzulaani Khalid berkata, projek yang dimulakan sekitar 2014 adalah antara usaha jabatannya mendekatkan masyarakat terhadap sains, terutama bidang agro-bioteknologi kultur.

"Pada mulanya, teknik kultur tisu untuk mengklon tumbuhan ini dilakukan bagi tujuan pengeluaran secara besar-besaran. Melalui kajian makmal kita dapati, pokok pisang sangat praktikal untuk diklon dan mampu memberi pulangan lumayan kepada petani.

"Jadi, kita cuba hasilkan benih pisang yang berkualiti di dalam makmal dan kemudian, beri kepada mereka yang berminat secara percuma," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan kertas kerja bertajuk ‘Kelebihan Kajian Saintifik kepada Masyarakat’ pada sesi perbincangan meja bulat ‘Sains untuk Masyarakat’, di sini.

Menurut Norzulaani, lebih 10,000 benih pokok pisang yang dibiak melalui teknik kultur tisu telah diberikan kepada orang awam.

"Maklum balas yang terima sangat positif walaupun benih pokok dibiak bukan secara biasa. 

"Lebih utama, anak benih ini bebas penyakit dan buah yang dihasilkan berkualiti seperti mana induknya," katanya.  

Norzulaani berkata, bagi memastikan proses penanaman pokok yang diambil dari nurseri khas mereka berjalan lancar, pihaknya menubuhkan satu pasukan untuk memantau dan membantu petani.

"Setakat ini, projek tanam pisang klon ini dilakukan di Kolej Komuniti Rembau, Negeri Sembilan; Kampung Sungkup, Merbok, Kedah; Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Bahagian Negeri Sembilan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)," katanya.

Lebih menarik, projek di Kampung Sungkup, berjaya membantu penduduk kampung tersebut menjana pendapatan ketika proses penanaman semula getah dilakukan.  

"Dengan menanam anak pokok pisang sekitar 1,000 pokok, kita berjaya mengurangkan kebergantungan golongan penoreh getah ini terhadap pemberian subsidi yang diterima, sementara menanti kembali menoreh getah yang mengambil masa lima tahun. 

"Dengan pokok pisang ini, mereka boleh dapat duit dalam tempoh yang agak cepat. Malah, mereka boleh menambah nilai pisang itu dengan menjual kerepek atau membuat baja organik dari sisa pokok pisang," katanya.

Menyentuh perancangan jangka panjang, Norzulaani menjelaskan pihaknya akan menggerakkan ‘kumpulan pembantu’ memantau projek yang dilakukan, namun ia bergantung kepada permintaan.  

"Kita harap, projek tanam pisang ini mampu menarik lebih ramai penyertaan terutama graduan muda dan bekas penagih dadah, kerana ia platform terbaik untuk menjana pendapatan mereka.  

"Apa yang diperlukan ialah komitmen petani ini untuk melaksanakannya," katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan