AM

Dua perjalanan ke Pulau Langkawi sebelah pagi batal, Terminal Feri Kuala Kedah sesak

22/02/2019 04:45 PM

ALOR SETAR, 22 Feb (Bernama) -- Susulan dua waktu perjalanan pada sebelah pagi ke Pulau Langkawi dari Terminal Feri Kuala Kedah dekat sini dibatalkan mulai semalam hingga esok, ia menyebabkan keadaan sekitar terminal berkenaan sedikit sesak dengan orang ramai hari ini.

Tinjauan media mendapati orang ramai perlu menunggu lama sehingga menjangkau tiga jam untuk ke pulau itu, dan ada antara mereka tidur di lantai disebabkan kepenatan sementara menantikan feri tiba kerana tidak mengetahui waktu perjalanan 8.30 dan 9.30 pagi dibatalkan ekoran air surut.

Penyelia Operasi Ferry Line Ventures Kuala Kedah Ahmad Azizan Aziz berkata keadaan menjadi agak sesak apabila perjalanan penumpang pada dua waktu itu perlu ditukarkan ke 10.30 pagi manakala bagi penumpang yang ingin menaiki feri pada 10.30 pagi, jadual mereka terpaksa dianjak pula ke 1.30 tengah hari berikutan penumpang sudah penuh.

"Ia menjadi sedikit sibuk sebab penumpang bagi waktu perjalanan 8.30 dan 9.30 pagi akan naik pada 10.30 pagi, jadi bagi mereka yang tidak tahu tentang pembatalan ini, akan sampai seawal 9.30 hingga 10 pagi untuk menaiki feri yang 10.30 pagi ini, ia akan jadi ramai menunggu ke belakang.

"Kalau normal ‘trip’ kita ada 10 waktu perjalanan sehari sehingga pukul 7.00 malam, tetapi disebabkan air surut ini, kita ada 8 ‘trip’ sahaja. Air surut ini sehingga (paras) 0.2 meter. Bagi feri beroperasi, ia memerlukan sekurang-kurangnya (paras) 1.0 meter," katanya ketika ditemui pemberita di terminal itu.

Ahmad Azizan berkata terminal itu sedikit sesak juga disebabkan Jumaat dan Sabtu merupakan cuti hujung minggu di Kedah berbanding hari biasa.

"Hebahan dah dibuat dalam FB (Facebook) Langkawi Ferry Line dan juga dalam sistem belian secara online, tetapi masih yang tidak tahu dan datang awal, dan keadaan di sini (terminal) agak sesak dengan ramai orang," katanya.

Sementara itu, seorang penumpang Kapten Pertahanan Awam (PA) Mohd Zain Bahrum berkata dia bersama anggotanya yang lain tiba seawal 10 pagi di terminal itu untuk ke Pulau Langkawi berikutan mempunyai urusan kerja rasmi di sana Ahad ini.

Beliau berkata waktu perjalanan mereka adalah pada 1.30 tengah hari sekali gus menyebabkan mereka lewat tiba di Langkawi.

"Kami kena tunggu tiga jam, kalau 1.30 tengah hari bertolak, kemunginan 2.30 petang baru tiba di sana. Kami akan sedikit ‘rushing’, untuk buat urusan yang dirancang awal lagi, kalau bertolak antara 11 pagi, 12 tengah hari, dah sampai sana," katanya sambil menambah tidak mengetahui tentang pembatalan feri bagi dua waktu itu.

Seorang lagi penumpang Mohd Hafiz Mat Desa, 32, berkata dia dan isteri Nur Ezni Rahim, 32, serta ibu bapanya dari Sik tiba di terminal itu pada 10.30 pagi namun mendapat tiket perjalanan feri ke Langkawi pada 1.30 tengah hari.

"Saya mahu pergi bercuti bersama keluarga, tetapi perlu tunggu lama macam ini, dengan tempat duduk pun tak banyak, terpaksa duduk di atas lantai, harap pihak terminal boleh menambah baik kemudahan dengan memperbanyakkan lagi kerusi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan