ALOR SETAR, 2 Feb (Bernama) -- Menara Alor Setar hari ini melancarkan Restoran dan Lounge StarSky@Menara Alor Setar yang menawarkan perkhidmatan dan hidangan istimewa sebagai tarikan baharu untuk menarik lebih ramai pengunjung ke menara itu.
Ia dihasilkan menerusi kerjasama antara Menara Alor Setar dengan syarikat penyajian makanan Kumpulan Segi Seri, yang menyaksikan restoran di ketinggian 94 meter di menara itu turut menyajikan pengunjung dengan pemandangan 360 darjah bandaraya ini sambil menikmati hidangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Datuk Rozlan Mohamed berkata pelancaran restoran itu diharap mampu merancakkan semula jumlah kehadiran pengunjung ke Menara Alor Setar, yang dilihat menyusut sejak dua tahun kebelakangan.
"Tahun lepas, seramai 97,000 pengunjung datang ke Menara Alor Setar dan tahun ini kita sasarkan lebih ramai pengunjung datang ke sini. Tambahan pula, mereka boleh datang melihat bandar Alor Setar sambil menikmati makanan di Restoran dan Lounge StarSky,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian restoran itu di sini, hari ini.
Menara Kuala Lumpur bertanggungjawab menguruskan Menara Alor Star.
Rozlan berkata restoran yang menawarkan hidangan pada harga berpatutan itu juga akan memberikan pengalaman berharga kepada pengunjung kerana Menara Alor Setar ia satu-satunya yang menawarkan perkhidmatan seumpama itu di utara tanah air ini.
Terdahulu, pelancaran restoran itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan-badan Bukan Kerajaan Kedah Mohd Firdaus Ahmad dalam satu majlis yang dihadiri lebih100 tetamu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Segi Seri Azhar Baharin berkata pihaknya komited untuk menjadikan Restoran dan Lounge StarSky sebagai hub perniagaannya di sini kerana lokasinya yang strategik dan dikelilingi tempat menarik dan cantik.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Restoran dan Lounge StarSky, boleh menghubungi Kumpulan Segi Seri di talian 012-3874515 atau layari laman sesawang www.segiseri.com.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial