Oleh Siti Radziah Hamzah
(Nota: Ini merupakan bahagian terakhir daripada siri tiga artikel yang meneliti ekosistem sukan permotoran Malaysia. Artikel ini memfokuskan aspek dasar, termasuk pengembangan infrastruktur, laluan pembangunan atlet, serta pertimbangan antara penganjuran acara berprestij dan pembinaan ekosistem jangka panjang.)
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Selama hampir dua dekad, Formula Satu (F1) menjadi simbol aspirasi sukan permotoran Malaysia, meletakkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam kalendar perlumbaan global dan mengangkat negara sebagai destinasi utama sukan permotoran berprestij.
Kini, pemain industri berpandangan bahawa isu utama bukan lagi sama ada Malaysia mampu menganjurkan perlumbaan antarabangsa berprofil tinggi. Sebaliknya, fokus kini tertumpu pada sejauh mana ekosistem sukan permotoran negara tersusun, inklusif, dan berdaya tahan dari segi kewangan untuk menyokong sebarang pengembalian ke pentas elit.
Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata sebarang perbincangan mengenai kembalinya F1 perlu dinilai berdasarkan kos sebenar, tahap kesiapsiagaan serta ketahanan jangka panjang ekosistem, bukan didorong nostalgia semata-mata.
“Ketika kontrak pertama ditandatangani, kosnya sekitar US$12 juta. Hari ini, ia melebihi US$50 juta,” katanya, sambil menambah penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS turut meningkatkan kos penganjuran. Ringgit kini diniagakan melebihi RM3 hingga RM4 bagi setiap dolar AS berbanding sekitar RM2.50 sebelum ini.
Mokhzani berkata F1 kini telah berkembang menjadi produk berbilang hari yang berorientasikan pengalaman, memerlukan pelaburan melangkaui yuran hak penganjuran semata-mata.
“Jadi, persoalannya, bolehkah kita lakukan itu? Jika jawapannya kita tidak pasti, mungkin kita tidak patut melakukannya,” katanya.
Pelan induk sebagai tonggak dasar
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali, yang juga bendahari MAM, berkata MAM kini sedang memuktamadkan Pelan Induk Sukan Permotoran Kebangsaan, yang dijangka siap menjelang suku kedua 2026.
Beliau berkata pelan induk itu bertujuan memberi gambaran yang jelas dan berasaskan data kepada pembuat dasar mengenai ekosistem sukan permotoran Malaysia, daripada penyertaan akar umbi hingga ke peringkat tinggi, termasuk saiz rantaian nilai, kekurangan utama dan kelemahan struktur.
Mokhzani berkata pelan induk itu akan memetakan laluan bagi kedua-dua sukan bermotor roda dua dan roda empat, serta menetapkan titik permulaan yang jelas bagi peserta.
“Akhirnya, sama ada anda serius atau tidak melaburkan masa, tenaga, dan wang ke dalam perkara yang anda minati, di manakah tangga untuk maju itu? Ke mana ia akan membawa anda?,” soal beliau.
Menurut Mokhzani, objektif pelan induk adalah memastikan pembangunan sukan permotoran dalam tempoh tiga hingga 10 tahun akan datang dijalankan secara berselaras, inklusif dan berasaskan keselamatan, bukannya bergantung kepada keputusan ad hoc atau acara sensasi.
Pada Disember 2025, Menteri Belia dan Sukan yang baharu dilantik Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata kementerian sedang menilai cadangan untuk membangunkan litar sukan permotoran tambahan di seluruh Malaysia bagi memperluas akses akar umbi dan mengurangkan kebergantungan pada satu litar utama.
Beliau berkata cadangan akan dinilai secara menyeluruh bagi memastikan kemudahan baharu dibangunkan secara tersusun, mampan dan berfokus kepada keselamatan, selaras dengan perancangan ekosistem jangka panjang.
Langkah ini menandakan peralihan dasar ke arah memperluas akses fizikal kepada infrastruktur sukan permotoran, sambil memperkukuh laluan pembangunan dan koordinasi institusi.
Pilihan dasar, bukan nostalgia
Bekas pelumba F1 Alex Yoong, berkata minat global yang meningkat terhadap F1 tidak mengubah realiti struktur ekosistem sukan permotoran Malaysia.
“Tanpa asas yang kukuh, membawa F1 kembali tidak akan menyelesaikan masalah ekosistem,” katanya, sambil menegaskan bahawa perbincangan dasar perlu membezakan antara prestij dan penyertaan, kerana acara berprofil tinggi sahaja tidak menghasilkan pasukan, pekerjaan, atau nilai domestik yang mampan.
Pemandu drift profesional Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel, berkata penyertaan akar umbi telah berkembang melalui format mudah diakses seperti gymkhana dan drift, tetapi penyertaan sahaja tidak menjamin perkembangan ke peringkat lebih tinggi.
“Sukan permotoran bukanlah sukan biasa. Ia memerlukan banyak pembiayaan untuk dapat bergerak maju,” katanya, sambil menambah bahawa ketiadaan laluan masuk yang jelas mengehadkan pembangunan melebihi peringkat pengenalan.
“Tiada jalan yang jelas untuk memulakan kerjaya dalam sukan permotoran. Segalanya bergantung kepada makluman daripada mulut ke mulut,” katanya.
MotoGP dan Kelebihan Segmen Dua Roda
Razlan berkata keputusan untuk menganjurkan acara sukan permotoran berskala besar mesti berasaskan pertimbangan kemampuan fiskal serta kemampanan kewangan negara dalam jangka panjang.
Beliau menjelaskan bahawa ketika Malaysia mula menjadi tuan rumah F1, yuran hak penganjuran tahunan dianggarkan sekitar US$12 juta sebelum meningkat secara ketara pada tahun-tahun berikutnya. Kenaikan kos itu akhirnya menimbulkan cabaran terhadap daya maju jangka panjang acara berkenaan tanpa pulangan komersial yang setimpal.
Sebelum era F1, Malaysia telah menganjurkan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) di Litar Batu Tiga (juga dikenali sebagai Litar Shah Alam), Selangor dari 1991 hingga 1997 dan di Litar Johor pada 1998, sebelum ia dipindahkan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sejurus pembukaannya pada Mac 1999.
Razlan berkata struktur kos MotoGP lebih selari dengan realiti pasaran domestik dan permintaan serantau, khususnya di Asia Tenggara yang mempunyai ekosistem mobiliti dua roda yang kukuh dan pangkalan peminat yang besar.
Beliau turut menarik perhatian kepada perkembangan di pasaran jiran seperti Thailand dan Indonesia, yang menyaksikan sokongan kerajaan secara berterusan serta asas peminat dua roda yang kukuh, sekali gus memperkukuh kedudukan MotoGP di rantau ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kesesuaian kos dan tarikan pasaran semata-mata tidak mencukupi tanpa kestabilan dasar serta komitmen institusi yang berterusan di peringkat nasional.
“Ia memerlukan komitmen jangka panjang. Hasilnya tidak boleh dituai dalam tempoh tiga tahun pertama,” katanya sambil menekankan bahawa pembangunan ekosistem industri bergantung kepada kesinambungan dan sokongan nasional yang berterusan.
Beliau berkata penganjuran acara sukan mega menuntut konsistensi hala tuju kerana vendor, pasukan dan rakan komersial memerlukan kepastian dasar sebelum membuat komitmen pelaburan jangka panjang.
Realiti kos dan pengurusan
Pada peringkat profesional, pemilik pasukan perlumbaan ketahanan Douglas Khoo, berkata ekonomi sukan permotoran antarabangsa masih mahal dan membebankan walaupun acara berprestij.
Beliau berkata sebuah kereta perlumbaan GT boleh menelan kos antara 500,000 euro hingga lebih 1 juta euro, manakala perlumbaan ketahanan antarabangsa boleh mencecah kira-kira 200,000 euro setiap pusingan, tidak termasuk kereta, dengan kos tayar menyumbang sebahagian besar perbelanjaan operasi.
Khoo berkata banyak kos lain seperti logistik, penginapan dan bayaran kru adalah kos tetap, tidak bergantung pada tempoh perlumbaan, menjadikan format ketahanan lebih cekap dari segi masa litar berbanding perbelanjaan.
Pemain industri berkata realiti kos ini menekankan keperluan susunan dasar yang berhati-hati, di mana kedalaman ekosistem, akses dan pembangunan bakat diperkuat sebelum komitmen kepada acara antarabangsa berprofil tinggi.
Menelusuri sejarah F1 di Malaysia, pihak berkepentingan berpendapat cabaran dasar hari ini bukan lagi soal kemampuan teknikal, kerana kewujudan SIC telah membuktikannya.
Sebaliknya, persoalan sebenar ialah sama ada keputusan masa depan akan mengutamakan pembinaan struktur ekosistem berbanding pertunjukan, laluan pembangunan atlet berbanding status prestij, serta penyertaan dan nilai jangka panjang berbanding perhatian jangka pendek.
Dalam konteks itu, masa depan sukan permotoran Malaysia mungkin lebih ditentukan oleh sejauh mana dasar yang digubal selari dengan pelaburan, akses dan pembangunan berterusan, berbanding sekadar kembalinya satu perlumbaan yang melabuhkan bendera penamat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial