AM

RUU Akta Pengangkutan Jalan 2018 dibentang di Dewan Rakyat

10/12/2018 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) – Kerajaan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Pembentangan dibuat Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. 

Loke ketika ditemui di lobi Parlimen menjelaskan RUU itu antara lain akan memberi kuasa kepada Majlis Bandaraya untuk menubuhkan pasukan warden lalu lintasnya sendiri. 

Menurutnya, penubuhan pasukan itu dapat membantu anggota polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam melakukan tugas rondaan dan menjaga lalu lintas di bandar raya besar. 

Loke juga berkata pindaan baharu itu juga bakal menambah baik proses pembatalan pendaftaran kenderaan bagi memudahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) melupuskan kenderaan terbiar. 

“Sekarang ini, pihak PBT mempunyai masalah untuk melupuskan kenderaan terbiar di kawasan mereka kerana kebanyakan kenderaan ini masih mempunyai pendaftaran masih hidup (sah). Jadi dengan pindaan baharu ini dapat memudahkan kerja PBT melupuskan kenderaan terbiar,” katanya. 

Sementara itu, Loke berkata di bawah pindaan baharu itu juga menteri bakal diberikan kuasa untuk menetapkan fi terhadap penggunaan cermin gelap oleh kenderaan. 

“Sebelum ini, tiada peruntukan undang-undang untuk kerajaan meletakkan caj atau fi terhadap cermin gelap, cuma menteri diberi kuasa untuk beri pengecualian kepada mana-mana individu melalui surat,” katanya. 

RUU berkenaan tidak akan melibatkan perbelanjaan tambahan oleh kerajaan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan