AM

Pindaan Akta SUHAKAM, Jurang Inflasi-kos Sara Hidup Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

01/07/2026 09:01 AM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Cadangan pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 1999 serta isu jurang antara kadar inflasi dan peningkatan kos sara hidup menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, pada sesi soal jawab, Teresa Kok (PH-Seputeh) meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan bercadang meminda Akta SUHAKAM bagi membolehkan suruhanjaya itu menjana sumber pendapatan tambahan menerusi pelaksanaan latihan dan kursus supaya tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan.

Turut menjadi perhatian ialah soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) kepada Menteri Ekonomi mengenai penilaian kerajaan terhadap jurang antara kadar inflasi rasmi dan peningkatan kos sara hidup, selain indikator yang digunakan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampu meningkatkan kuasa beli isi rumah.

Pada sesi sama, V. Ganabatirau (PH-Klang) meminta Perdana Menteri menjelaskan status semakan semula berkaitan pemindahan atau perubahan guna tanah yang membabitkan kolam takungan banjir, khususnya di Kuala Lumpur.

Pada sesi sama, V. Ganabatirau (PH-Klang) meminta Perdana Menteri menjelaskan status semakan semula berkaitan pemindahan atau perubahan guna tanah yang melibatkan kolam takungan banjir, khususnya di Kuala Lumpur.

Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) pula meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan nisbah pelajar institusi pengajian tinggi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berbanding bukan STEM, selain sasaran jumlah jurutera dalam pelbagai disiplin bagi memenuhi permintaan industri berteknologi tinggi.

Turut dijadualkan pada persidangan itu ialah pembentangan Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 untuk bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 16 hari dan dijadualkan berakhir pada 16 Julai ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan